
KUALA LUMPUR, 14 April- Ringgit melonjak sebanyak 135 mata asas untuk meningkat semula kepada paras 3.96 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi pembukaan dagangan hari ini, disokong oleh sentimen risiko global yang lebih baik susulan potensi rundingan pusingan kedua antara AS dan Iran.
- Potensi rundingan pusingan kedua AS dan Iran menurunkan harga minyak mentah WTI dan Brent di bawah US$100.
- Hasil Perbendaharaan AS untuk dua dan 10 tahun merosot dua mata asas, menekan dolar AS.
- Indeks Dolar AS (DXY) berkurangan 0.23 peratus kepada 98.425 mata.
- Ringgit lebih tinggi berbanding beberapa mata wang ASEAN, namun lemah berbanding pound, euro dan baht; mengukuh terhadap yen, SGD, IDR dan PHP.
Pada 8.00 pagi, ringgit meningkat kepada 3.9600/9715 berbanding dolar AS daripada 3.9735/9805 pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perkembangan terkini dalam pasaran minyak global susulan berita bahawa terdapat rundingan pusingan kedua antara AS dan Iran dalam masa terdekat, telah mendorong harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dan Brent menurun di bawah paras US$100 setong.
“Berita itu telah mewujudkan harapan bahawa penyelesaian secara damai dapat dicapai walaupun ia juga mungkin sukar direalisasikan,” katanya kepada Bernama.
Mengenai dolar AS yang dianggap sebagai mata wang selamat, katanya hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh dua tahun dan 10 tahun, masing-masing merosot sebanyak dua mata asas kepada 3.77 peratus dan 4.29 peratus.
Dalam pada itu, katanya Indeks Dolar AS (DXY) berkurangan 0.23 peratus kepada 98.425 mata.
“Pasaran juga dilihat cenderung kepada pelaburan berisiko walaupun masih berhati-hati berdasarkan perkembangan rundingan yang berubah-ubah.
“Ringgit dijangka mencatatkan peningkatan semula tetapi kekal dalam jajaran kecil antara RM3.96 dan RM3.98 hari ini,” katanya.
Walaupun diniagakan tinggi berbanding dolar AS, ringgit kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama pada sesi pembukaan kecuali yen Jepun.
Ringgit menurun berbanding pound kepada 5.3515/3671 daripada 5.3360/3454 dan rendah berbanding euro kepada 4.6589/6725 daripada 4.6434/6516.
Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4867/4940 daripada 2.4875/4920 pada Isnin.
Pada masa yang sama, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN kecuali baht Thailand.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1105/1205 daripada 3.1145/1205, tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 231.5/232.3 daripada 232.2/232.8 dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.58/6.60 daripada 6.60/6.62 semalam.
Mata wang tempatan menurun berbanding baht Thailand kepada 12.3623/4071 daripada 12.3202/3503 sebelum ini. -BERNAMA