
KUALA LUMPUR, 14 April – Ketidaktentuan geopolitik susulan kegagalan rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran dijangka memberi tekanan baharu kepada ekonomi global, khususnya melalui peningkatan harga minyak serta kos sara hidup.
- Harga minyak Brent dijangka meningkat ke AS$90 hingga AS$100 setong jika ketegangan berterusan
- Kenaikan harga minyak memacu kos pengeluaran dan logistik, sekali gus mendorong kenaikan harga barangan pengguna terutama makanan
- Inflasi makanan meningkat 5% boleh menaikkan inflasi keseluruhan kira-kira 3% dan menjejaskan permintaan domestik walaupun gaji meningkat
- Subsidi bahan api berpotensi melonjak hampir RM40 bilion, menambah beban fiskal; eksport Malaysia diunjurkan berkembang sederhana sekitar 3%
Timbalan Pakar Ekonomi BIMB Securities, BIMB Securities, Muhd Zafri Zulkeffeli berkata harga minyak mentah Brent yang ketika ini berada sekitar AS$85 setong dijangka terus meningkat ke paras antara AS$90 hingga AS$100 setong sekiranya ketegangan berterusan.
Kenaikan harga minyak tersebut berpotensi memberi kesan rantaian kepada kos pengeluaran dan logistik, sekali gus mendorong peningkatan harga barangan pengguna, khususnya makanan.
“Jika inflasi makanan meningkat sehingga lima peratus seperti pada 2022, inflasi keseluruhan boleh naik ke sekitar tiga peratus, sekali gus menjejaskan permintaan domestik meskipun pertumbuhan gaji masih berada pada paras lima hingga enam peratus,” katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu Program Biz Malaysia.
Subsidi kerajaan juga dijangka meningkat berikutan lonjakan harga minyak semasa, berbanding unjuran awal Belanjawan 2026 yang menganggarkan harga Brent sekitar AS$60 hingga AS$65 setong.
Peruntukan subsidi bahan api yang sebelum ini dianggarkan sekitar RM22 bilion berpotensi melonjak sehingga hampir RM40 bilion tahun ini, termasuk tambahan kira-kira RM3 bilion seperti diumum kerajaan.
Dalam pada itu, beliau berkata konflik berpanjangan berisiko memperlahankan pertumbuhan ekonomi global memandangkan negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China, India dan Eropah merupakan pengimport bersih minyak.
Peningkatan kos tenaga di negara-negara ini akan menekan permintaan domestik masing-masing, sekali gus memberi kesan limpahan kepada prestasi perdagangan global.
Sehubungan itu, Malaysia sebagai ekonomi berorientasikan eksport turut dijangka terkesan, dengan pertumbuhan eksport diunjurkan sederhana sekitar tiga peratus bagi tahun ini.