KUALA LUMPUR, 19 Oktober– Ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati minggu depan susulan sentimen bercampur-campur, dengan faktor domestik yang kukuh terus menyokong mata wang tempatan.
- Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan kerana sentimen bercampur-campur.
- Faktor domestik kukuh termasuk KDNK suku ketiga lebih tinggi daripada jangkaan menyokong mata wang.
- Belanjawan 2026 menunjukkan komitmen disiplin fiskal, memberi isyarat positif kepada pasaran.
- Ketidaktentuan perdagangan global, khususnya ketegangan AS-China, mengekang keyakinan pelabur.
Ketidaktentuan perdagangan global mengekang keyakinan pasaran.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka berada dalam jajaran 4.20 dan 4.22 pada minggu depan.
“Anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga tahun ini lebih tinggi daripada jangkaan pada 5.2 peratus berbanding unjuran 3.9 peratus sebelum ini.
“Pada masa yang sama, Belanjawan 2026 turut mencerminkan komitmen kerajaan terhadap disiplin fiskal, sekali gus memberi isyarat positif kepada pasaran. Ini dijangka menyokong ringgit dalam tempoh sederhana hingga jangka panjang,” kata Dr. Mohd Afzanizam.
Walaupun faktor domestik menyokong ringgit, sentimen pasaran masih dipengaruhi faktor luaran, terutama ketegangan perdagangan berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.