Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, mata wang utama

Pada 8.00 pagi, unit tempatan menokok kepada 3.9315/9370 berbanding dolar AS daripada 3.9320/9360 semasa ditutup pada Selasa / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Ringgit dibuka tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama termasuk dolar AS hari ini menjelang pengumuman suku pertama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ringgit dibuka tinggi berbanding mata wang utama menjelang pengumuman KDNK suku pertama Malaysia Jumaat.
  • Jabatan Perangkaan menjangka ekonomi berkembang 5.3% pada suku pertama 2026, mencerminkan daya tahan dan menyokong ringgit.
  • Ketua Ekonomi Bank Muamalat berkata Indeks Dolar AS naik 0.36% dan Rizab Persekutuan dijangka kekal dasar monetari ketat.
  • Pada pembukaan, ringgit mengukuh terhadap yen, pound, euro dan rupiah, tetapi susut berbanding dolar Singapura dan baht Thailand.

Pada 8.00 pagi, unit tempatan menokok kepada 3.9315/9370 berbanding dolar AS daripada 3.9320/9360 semasa ditutup pada Selasa.

Jabatan Perangkaan Malaysia mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 5.3 peratus pada suku pertama 2026, mencerminkan daya tahan dalam keadaan ketidaktentuan global, sekali gus merangsang ringgit.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.36 peratus kepada 98.305 mata ketika Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dijangka mengekalkan pendirian dasar monetari yang terhad dalam jangka masa terdekat.

“Bagaimanapun, ringgit dilihat agak stabil secara relatif,” katanya kepada Bernama.

Pada pembukaan dagangan, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4933/4970 daripada 2.4952/4979 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3213/3287 daripada 5.3231/3286, dan naik berbanding euro kepada 4.6136/6201 daripada 4.6189/6236 semasa ditutup pada Selasa.

Berbanding mata wang serantau, unit tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 224.2/224.7 daripada 224.3/224.6 dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.39/6.41.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0910/0956 daripada 3.0888/0922 dan menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.1421/1663 daripada 12.1276/1455.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.