
SHANGHAI, 13 Mei – Malaysia kekal sebagai rakan strategik yang boleh dipercayai dalam industri sawit global, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
- Tekanan terhadap tanggungjawab, daya saing dan komitmen kelestarian, disokong pensijilan MSPO sebagai bukti pengeluaran sawit bertanggungjawab.
- Kerjasama Malaysia-China dibina atas asas kepercayaan dan kualiti, diperkukuh melalui usaha ke arah pemprosesan hiliran dan oleokimia bernilai tinggi.
- Pengukuhan industri sawit bertujuan menjana pertumbuhan ekonomi dan memastikan kebajikan ratusan ribu pekebun kecil terus terbela.
Tegas beliau, Malaysia terus menitikberatkan tanggungjawab, daya saing dan komitmen terhadap kelestarian alam dalam memastikan industri sawit negara kekal diyakini pasaran antarabangsa.
Mengulas berhubung kemajuan kerjasama Malaysia dan China dalam industri tersebut beliau berkata, hubungan kedua-dua negara bukan sekadar melibatkan perdagangan komoditi, sebaliknya dibina atas asas kepercayaan serta kualiti yang telah terjalin sejak sekian lama.
“Tahun 2025 sahaja, Malaysia berjaya mengeksport kira-kira 2.64 juta tan produk berasaskan sawit ke China dengan nilai mencecah USD2.7 bilion,” menurutnya dalam satu hantaran di Facebook, selepas menyampaikan ucaptama di Forum Minyak Sawit Malaysia (MPOF) China 2026 di Shanghai.
Beliau berkata, keyakinan pasaran antarabangsa terhadap minyak sawit Malaysia turut diperkukuh menerusi komitmen negara terhadap pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), yang menjadi bukti pengeluaran sawit negara dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia kini memberi fokus kepada usaha memperkukuh kerjasama bernilai tinggi dengan China, khususnya dalam sektor pemprosesan hiliran dan oleokimia.
Katanya, usaha memperkasa industri sawit negara akan terus dipertingkatkan bukan sahaja bagi menjana pertumbuhan ekonomi, tetapi juga untuk memastikan kebajikan ratusan ribu pekebun kecil terus terbela.