
KUALA LUMPUR, 13 MEI – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) selesai menjalankan libat urus teknikal bersama syarikat petroleum menjelang pelaksanaan mandat baharu biodiesel mulai 1 Jun 2026.
- Peralihan kepada B15 membuktikan kesiapsiagaan infrastruktur, kejuruteraan dan teknologi negara menyokong agenda tenaga boleh baharu.
- Pelaksanaan kadar adunan baharu diselaraskan melalui Jawatankuasa Peringkat Tinggi Biobahan Api.
- Inisiatif dijangka mengurangkan import diesel, memanjangkan stok, menstabilkan harga CPO dan mengurangkan pelepasan karbon pengangkutan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, langkah itu bagi memastikan rantaian bekalan, logistik dan infrastruktur di depoh adunan bersedia sepenuhnya untuk pelaksanaan peningkatan adunan biodiesel daripada B10 kepada B15.
”Peralihan kepada B15 membuktikan kesediaan infrastruktur dan kejuruteraan serta teknologi dalam negara untuk menyokong agenda tenaga boleh baharu.
”Pada masa sama, ia memberi isyarat jelas komitmen Malaysia untuk mengoptimumkan penggunaan minyak sawit bagi sektor tenaga domestik tanpa menjejaskan bekalan pasaran eksport,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kadar adunan baharu itu akan dilaksanakan menerusi mekanisme yang diselaraskan melalui Jawatankuasa Peringkat Tinggi Biobahan Api.
Mengulas selanjutnya, pelaksanaan inisiatif ini dapat mengurangkan kebergantungan import diesel petroleum, memanjangkan stok bekalan sedia ada, menstabilkan harga CPO domestik dan mengurangkan pelepasan karbon sektor pengangkutan, sejajar matlamat Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Beliau turut memaklumkan, bagi peringkat penguatkuasaan, KPK ketika ini bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Selain itu, inisiatif penerangan awam turut diselaraskan bersama Kementerian Komunikasi bagi memastikan maklumat yang tepat dan jelas disampaikan kepada pengguna.