PKS raih RM14 juta dalam misi perdagangan Hong Kong – SAMENTA

Peserta PKS tempatan yang menyertai misi perdagangan ke Hong Kong/ SAMENTA

KUALA LUMPUR, 27 April- Lebih 100 peserta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan berjaya meraih nilai transaksi serta potensi jualan mencecah RM14 juta menerusi misi perdagangan ke Hong Kong, baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Misi memberi tumpuan kepada AI, robotik, automasi dan penyelesaian sisa-ke-tenaga.
  • Sektor berkenaan membuka peluang memperkukuh rantaian nilai dan beralih kepada pengeluaran teknologi tinggi serta mampan.
  • Presiden William Ng: PKS menyusun semula strategi, tumpu pasaran serantau akibat ketidaktentuan rantaian bekalan.
  • Misi disokong HKTDC dan MATRADE; lebih 200 sesi padanan perniagaan bantu PKS jadi rakan kongsi teknologi tinggi dan tenaga hijau.

Misi yang diketuai oleh Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) itu memberi tumpuan kepada sektor kecerdasan buatan (AI), robotik, automasi serta penyelesaian sisa ke tenaga.

SAMENTA dalam kenyataan hari ini memaklumkan sektor berkenaan membuka ruang kepada PKS untuk memperkukuh rantaian nilai, selain beralih daripada pembuatan tradisional berasaskan tenaga kerja kepada pengeluaran berteknologi tinggi dan mampan.

Presidennya, William Ng berkata PKS kini sedang menyusun semula strategi pertumbuhan dengan memberi tumpuan kepada pasaran serantau susulan ketidaktentuan rantaian bekalan dan logistik global.

“Anjakan struktur dalam perdagangan global sedang berlaku dan model tradisional yang bergantung kepada kestabilan ekonomi atau inisiatif kerajaan tidak lagi praktikal dalam pasaran tidak menentu.

“Misi ini membuktikan bahawa tindakan kolektif dan tangkas membolehkan PKS mengharungi cabaran walaupun berdepan gangguan kompleks,” katanya.

Beliau menggesa PKS supaya lebih proaktif dalam meneroka peluang baharu tanpa bergantung sepenuhnya kepada sokongan luar.

Misi selama tiga hari itu turut mendapat sokongan Hong Kong Trade Development Council (HKTDC) dan Malaysia External Trade Development Corporation.

Sepanjang tempoh berkenaan, lebih 200 sesi padanan perniagaan diadakan melibatkan pembekal serta pelanggan dari China dan Asia Tenggara.

“Melalui hubungan langsung ini, SAMENTA membantu PKS tempatan melangkaui peranan sebagai pengeluar peralatan asal kepada rakan kongsi utama dalam koridor teknologi tinggi dan tenaga hijau masa depan.

“Nilai RM14 juta ini hanyalah permulaan, sebaliknya yang lebih penting ialah perubahan minda bahawa PKS tempatan mampu menjadi pemain bertaraf global,” tambahnya.