INSKEN latih 160,000 usahawan, jana RM100 juta tambahan pendapatan

Datuk Mustaffa Kamil Ayub / RTM

ANGKASAPURI, 27 April- Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) telah melatih dan membangunkan 160,000 usahawan serta menjana tambahan pendapatan sebanyak RM100 juta kepada usahawan mikro dan kecil sepanjang 20 tahun penubuhannya, sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • INSKEN melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pengurusan kewangan, digitalisasi serta pembangunan produk dan perkhidmatan usahawan.
  • Melaksanakan ribuan program yang turut mewujudkan peluang pekerjaan baharu bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan.
  • Memberi penekanan kepada digitalisasi, kecerdasan buatan dan peluasan pasaran antarabangsa, menggesa usahawan kekal berdaya tahan dan berdaya saing.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan serta daya saing usahawan di Malaysia, merangkumi aspek pengurusan kewangan, digitalisasi serta pembangunan produk dan perkhidmatan.

“Sebanyak 4,000 program telah dilaksanakan oleh INSKEN, di samping mewujudkan 2,500 pekerjaan baharu,” katanya ketika ditemui RTM selepas Program Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata cabaran ekonomi semasa yang semakin kompleks menuntut usahawan untuk memiliki daya tahan dan daya saing yang tinggi dalam mendepani ketidaktentuan pasaran global.

“Dalam ekonomi hari ini memang mencabar, sama ada persaingan dalaman mahupun ketidaktentuan ekonomi dunia. Yang penting, usahawan perlu ada daya tahan, daya juang dan daya saing,” katanya.

Menurut beliau, INSKEN turut memberi penekanan kepada agenda digitalisasi, kecerdasan buatan (AI) dan peluasan pasaran ke peringkat antarabangsa sebagai langkah memperkukuh pembangunan usahawan masa depan.

Beliau berharap lebih ramai usahawan, khususnya golongan muda, dapat memanfaatkan peluang yang disediakan bagi membina perniagaan yang mampan dan berdaya saing.