Institusi tempatan kekal sokong Bursa Malaysia, rekod aliran masuk bersih RM534.2 juta – MBSB

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, April 27 – Institusi tempatan meneruskan trend belian bersih untuk tempoh dua minggu berturut-turut di Bursa Malaysia, dengan merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM534.2 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelabur runcit tempatan melanjutkan jualan bersih dua minggu, merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM497.4 juta.
  • Institusi asing meneruskan jualan bersih, aliran keluar RM36.9 juta dan penjualan terbesar RM128.7 juta pada Isnin.
  • Sektor utama menerima aliran masuk asing: Produk dan Perkhidmatan Perindustrian, Perkhidmatan Kewangan dan Tenaga.

Menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB), pelabur runcit tempatan pula melanjutkan tempoh jualan bersih berturut-turut kepada dua minggu, dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM497.4 juta

Sementara itu, institusi asing turut meneruskan jualan bersih untuk dua minggu berturut-turut, dengan aliran keluar sebanyak RM36.9 juta.

MBSB IB berkata institusi asing merupakan penjual bersih pada dua daripada lima hari dagangan sepanjang minggu tersebut, dengan aliran keluar terbesar sebanyak RM128.7 juta direkodkan pada Isnin.

“Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk bersih asing ialah Produk dan Perkhidmatan Perindustrian (RM129.7 juta), Perkhidmatan Kewangan (RM85.7 juta) dan Tenaga (RM23.8 juta).

“Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar bersih asing ialah Pengangkutan dan Logistik (RM151.2 juta), Produk dan Perkhidmatan Pengguna (RM90.9 juta) serta Pembinaan (RM53.7 juta),” kata MBSB IB dalam laporan aliran dana bagi minggu berakhir 24 April 2026.

Menurut bank pelaburan itu, purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan perubahan menyeluruh dengan pelabur runcit meningkat sebanyak 11.2 peratus, institusi tempatan menurun 0.3 peratus, manakala institusi asing mencatatkan penurunan sebanyak 4.3 peratus.