Biodiesel hanya penampan tambahan, bukan perlindungan kekal risiko import diesel

Biodiesel dianggap penampan tambahan bagi keselamatan tenaga berbanding perlindungan kekal atau menyeluruh terhadap risiko import diesel. /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 April – Biodiesel wajar dianggap sebagai penampan tambahan bagi keselamatan tenaga berbanding perlindungan kekal atau menyeluruh terhadap risiko import diesel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan tingkatkan campuran biodiesel (B10 ke B15, permulaan B12) dan menyokong pelan B20/B30 di bawah RMK13.
  • Pelaksanaan campuran lebih tinggi memerlukan penaiktarafan besar infrastruktur penyimpanan, logistik dan pengedaran serta tidak seragam keserasian enjin diesel.
  • Penggunaan biodiesel terhad kepada Langkawi, Labuan dan Sarawak; pengembangan seluruh negara memerlukan anggaran RM643 juta.

Menurut CIMB Securities, biodiesel membantu mengurangkan kebergantungan terhadap diesel import dengan memanfaatkan bekalan minyak sawit domestik Malaysia.

Langkah itu sekali gus memperkukuh keselamatan tenaga, khususnya ketika gangguan terhadap laluan utama seperti Selat Hormuz.

Firma itu menerusi laporan Malaysia ESG Monitor: April 2026 berkata, kerajaan juga percaya peningkatan penggunaan biodiesel akan melanjutkan tempoh ketersediaan bekalan diesel negara.

“Strategi ini akan turut disokong oleh pelan mitigasi biobahan api, peningkatan berperingkat depoh biodiesel 20 peratus (B20) dan B30 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), serta persediaan ke arah mandat B30 bagi sektor komersial dan pengangkutan awam,” katanya.

CIMB Securities berpandangan penggunaan meluas campuran lebih tinggi memerlukan penaiktarafan besar dalam infrastruktur penyimpanan, logistik dan pengedaran, selain keserasian enjin diesel yang masih tidak seragam.

Selain itu, kos biodiesel juga berkait rapat dengan harga minyak sawit mentah (MSM) yang berubah-ubah.

“Pelaksanaan B20 di Malaysia masih terhad kepada Langkawi, Labuan dan Sarawak, dan kerajaan sebelum ini memaklumkan kira-kira RM643 juta diperlukan untuk memperluas infrastruktur B20 ke seluruh negara,” katanya.

Pada 14 April lalu, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 bagi mengekalkan bekalan diesel negara susulan krisis yang berlaku di Asia Barat.