Kempen Pandu Impianmu 2.0 galak rakyat melabur secara konsisten

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee

KUALA LUMPUR, 27 April – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) meneruskan kempen Pandu Impianmu 2.0 bagi menarik lebih ramai masyarakat memulakan pelaburan jangka panjang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Edisi terdahulu mencatat lebih 100,000 penyertaan, menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap program ini.
  • Kempen bukan sekadar menawarkan ganjaran tetapi memupuk kesedaran dan disiplin kewangan rakyat.
  • Hadiah menarik termasuk BMW 320i M Sport, Proton e.MAS 7 dan beberapa unit Perodua Bezza.
  • Syarat simpanan minimum RM500 dikekalkan untuk kelayakan hadiah, menggalakkan amalan pelaburan berterusan.

Ia sejajar dengan sambutan menggalakkan yang diterima pada edisi sebelum ini yang mencatat lebih 100,000 penyertaan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee berkata, inisiatif itu bukan sekadar menawarkan ganjaran, tetapi turut memupuk kesedaran serta disiplin kewangan dalam kalangan rakyat.

“Matlamat kami ialah mendidik dan menyediakan peluang kepada semua untuk melabur, membina tabungan dan seterusnya membina kehidupan lebih sejahtera.

“Selaras dengan itu, kami sentiasa merangka pelbagai program serta kempen untuk mendidik dan menggalakkan orang ramai melabur dan mengurus kewangan dengan lebih baik,” katanya dalam Majlis Pelancaran Pandu Impianmu 2.0 di sini, hari ini.

Antara hadiah yang ditawarkan ialah sebuah kereta BMW 320i M Sport sebagai hadiah utama, selain Proton e.MAS 7 dan beberapa unit Perodua Bezza.

Kempen yang berlangsung hingga 31 Mac 2027 itu turut mengekalkan syarat simpanan minimum RM500 untuk melayakkan pelabur memenangi hadiah, sekali gus menggalakkan amalan pelaburan berterusan.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang kempen Pandu Impianmu edisi terdahulu.