Trafik penumpang MAHB cecah 27.4 juta suku pertama 2026

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan peningkatan penumpang 14.4 peratus tahun ke tahun/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 27 April – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merekodkan pertumbuhan kukuh bagi seluruh rangkaian lapangan terbang tempatannya pada suku pertama 2026 dengan pergerakan penumpang mencecah 27.4 juta individu.

RINGKASAN BERITA AI
  • KLIA mencatat 16.9 juta trafik penumpang, meningkat 14.4 peratus tahun ke tahun.
  • Mac 2026 lapangan terbang tempatan kendalikan 9.1 juta penumpang, KLIA sumbang 5.6 juta dengan sambutan Hari Raya.
  • Tiga syarikat penerbangan antarabangsa mula operasi dari Malaysia: AeroDili, Air Algerie dan Chongqing Airlines.
  • MAHB utamakan kapasiti mencukupi, operasi lancar dan penambahbaikan bersasar untuk mengekalkan daya saing serta peluang pertumbuhan.

MAHB menerusi satu kenyataan memaklumkan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan 16.9 juta trafik penumpang, meningkat 14.4 peratus tahun ke tahun.

Untuk bulan Mac 2026, lapangan terbang tempatan mengendalikan sejumlah 9.1 juta penumpang, dengan KLIA menyumbang 5.6 juta daripada jumlah itu didorong terutamanya oleh sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pertumbuhan di seluruh rangkaian terus dipacu oleh peluasan kesalinghubungan serta peningkatan peranan lapangan terbang sebagai pintu masuk serantau.

”Keutamaan kami adalah memastikan momentum ini disokong dengan kapasiti yang mencukupi, operasi lancar serta penambahbaikan bersasar di lapangan, bagi mengekalkan daya saing di samping membuka lebih banyak peluang pertumbuhan untuk Malaysia.

”Di seluruh rangkaian, penambahbaikan berterusan terhadap suasana dan kemudahan meningkatkan keselesaan penumpang serta kecekapan operasi.

Tambahnya, tiga syarikat penerbangan antarabangsa turut memulakan operasinya dari Malaysia iaitu AeroDili dari Timor Leste, Air Algerie dari Algeria dan Chongqing Airlines dari China.

Beberapa laluan baharu turut diperkenalkan termasuk Nanjing–Kuala Lumpur, Chongqing–Kota Kinabalu, Wuxi–Kuala Lumpur, Batam–Kuala Lumpur, Phuket–Pulau Pinang, Guiyang-Kuala Lumpur, Guiyang-Kuching, Colombo-Kuala Lumpur dan Yangzhou-Kuala Lumpur.

Sementara itu, anak syarikat milik penuh MAHB, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA), mencatatkan 11.7 juta pergerakan penumpang bagi suku pertama tahun ini, meningkat 12 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.