
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Petroliam Nasional Berhad menerusi Petronas LNG Ltd (PLL) memeterai perjanjian sewaan berjangka selama 20 tahun dengan MISC Berhad bagi lima kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) baharu berkapasiti 174,000 meter padu.
- Perjanjian sewaan mengukuhkan kebolehpercayaan bekalan LNG jangka panjang dan menyokong peralihan pelanggan ke masa depan rendah karbon.
- Kerjasama Petronas dan MISC selaras kepakaran maritim dan perniagaan gas untuk mewujudkan nilai jangka panjang dalam rantaian nilai LNG.
- Kapal moden dilengkapi teknologi mesra alam dan sistem kecekapan bahan api, sementara MISC mengurus pembinaan serta operasi bagi memastikan kesinambungan.
Langkah itu dilihat mengukuhkan kebolehpercayaan bekalan LNG jangka panjang syarikat sambil menyokong peralihan tenaga pelanggan ke arah masa depan rendah karbon.
Dalam kenyataan hari ini, Petronas memaklumkan, perjanjian itu ditandatangani baru-baru ini oleh Ketua Pegawai Eksekutif PLL, Ezran Mahadzir dan Naib Presiden Aset dan Penyelesaian Gas MISC, Hazrin Hasan.
Menurut syarikat itu, perjanjian tersebut menyusuli pemeteraian kontrak pembinaan kapal antara MISC dan Hudong-Zhonghua Shipbuilding (Group) Co Ltd pada Januari dan Februari 2026.
“Kapal-kapal moden ini akan dibina di Shanghai, China dengan operasi sewaan dijangka bermula antara 2029 hingga 2030,” katanya.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim Petronas, Datuk Adif Zulkifli berkata penambahan kapal LNG baharu itu menjadi satu lagi pencapaian penting ketika syarikat terus memanfaatkan kekuatan kolektif perniagaannya bagi mewujudkan nilai jangka panjang dalam rantaian nilai LNG.
“Dengan menyelaraskan cita-cita pertumbuhan kami bersama kepakaran maritim MISC, kami memperkukuh keupayaan bersepadu yang menyokong kedudukan Petronas sebagai pembekal LNG global yang dipercayai dan diyakini,” katanya.
Petronas berkata kapal berkenaan akan dilengkapi teknologi moden berteraskan kecekapan selaras dengan piawaian alam sekitar dan operasi yang semakin berkembang.
Antara teknologi yang digunakan termasuk sistem pendorongan terkini XDF2.1, penjana aci bagi meningkatkan kecekapan bahan api sepanjang pelayaran serta loji reliquefaction di atas kapal untuk menguruskan pengewapan gas secara lebih berkesan.
Menurut Petronas, MISC akan menyediakan perkhidmatan pengurusan projek sepanjang fasa pembinaan kapal sebelum mengendalikan operasi dan pengurusan kapal selepas penyerahan bermula 2029.
“Pendekatan bersepadu ini memastikan kesinambungan dan kebolehpercayaan operasi yang lebih baik daripada peringkat pembinaan hingga operasi komersial dengan memanfaatkan pengalaman luas MISC dalam pengurusan kapal LNG,” katanya.
Tambah Petronas, kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh daya tahan dan kebolehpercayaan rantaian bekalan LNG selain menyumbang kepada pembangunan keupayaan tenaga dan maritim Malaysia.