Empat dekad perangi rasuah, Azam Baki akhiri perkhidmatan di SPRM

Tan Sri Azam Baki melakukan ‘clock out’ terakhir sebagai simbolik penamatan perkhidmatan beliau/ RTM

PUTRAJAYA, 12 Mei- Selepas lebih empat dekad dalam bidang penguatkuasaan antirasuah, Tan Sri Azam Baki hari ini menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan meninggalkan legasi reformasi institusi, pendekatan lebih agresif terhadap rasuah berprofil tinggi serta pemerkasaan operasi dan teknologi dalam organisasi itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkenalkan siasatan berasaskan risikan, penggunaan teknologi dan tindakan terhadap kes rasuah berimpak tinggi sejak menerajui SPRM.
  • Menubuhkan Skuad Taktikal Antirasuah (ACTS) dan Pasukan Petugas Pelbagai Agensi bagi memperkukuh operasi terhadap penyeludupan serta pengubahan wang haram.
  • SPRM memulihkan aset negara kira-kira RM15.5 bilion antara 2021 hingga awal 2026 termasuk dana berkaitan 1MDB.

Sepanjang menerajui SPRM sejak Mac 2020, beliau memperkenalkan pendekatan siasatan berasaskan risikan, penggunaan teknologi serta tindakan terhadap kes rasuah berimpak tinggi dan ketirisan dana awam.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri atas persetujuan menyambung kontrak saya sebanyak tiga kali sejak 2023 hingga kini,” katanya.

Antara inisiatif utama diperkenalkan termasuk penubuhan Skuad Taktikal Antirasuah (ACTS) pada Oktober 2023 serta Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) bagi memperkukuh operasi membanteras penyeludupan, pengubahan wang haram dan ketirisan hasil negara.

Sepanjang tempoh itu juga, SPRM memulihkan aset negara bernilai kira-kira RM15.5 bilion antara 2021 hingga awal 2026 termasuk melibatkan dana berkaitan 1MDB.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan warga SPRM supaya memberi kerjasama penuh kepada kepimpinan baharu bagi memastikan organisasi terus kekal relevan dan dihormati.

“Jika pegawai-pegawai tidak memberi kerjasama, ia boleh menjejaskan kelancaran organisasi itu sendiri. Perkara ini penting kerana dalam mana-mana organisasi, semua pihak perlu memberi komitmen dan kerjasama kepada kepimpinan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penghargaan Khas sempena persaraannya di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Majlis itu dihadiri lebih 1,000 pegawai kanan SPRM termasuk barisan pengurusan tertinggi suruhanjaya berkenaan.

Tan Sri Azam yang bersara wajib pada usia 63 tahun telah berkhidmat selama 42 tahun dalam agensi antirasuah negara bermula sebagai Pegawai Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1985 sebelum dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mac 2020.

Pada 25 April lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu berkuat kuasa esok.