Malaysia kekal rakan penting Iran dalam usaha cari penyelesaian konflik

Profesor Pengajian Asia Barat dan Hal Ehwal Antarabangsa Johns Hopkins University, Prof. Seyyed Vali R. Nasr

PUTRAJAYA, 12 Mei – Hubungan dua hala antara Malaysia dan Iran dilihat kekal stabil dan dijangka berterusan meski situasi konflik di Asia Barat ketika ini masih kompleks.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hubungan dua hala Malaysia dan Iran bersifat jangka panjang; Malaysia bukan pihak terlibat secara langsung tetapi turut menerima kesan konflik.
  • Iran akan terus melihat negara sahabat dengan hubungan diplomatik sebagai rakan penting dalam usaha mencari penyelesaian konflik.
  • Kehadiran Prof. Seyyed Vali R. Nasr, pakar rujukan dunia, memberikan perspektif lebih jelas dan objektif mengenai situasi konflik.

Profesor Pengajian Asia Barat dan Hal Ehwal Antarabangsa di Johns Hopkins University, Prof. Seyyed Vali R. Nasr berkata, hubungan sedia ada antara kedua-dua negara bersifat jangka panjang dan Malaysia turut menerima kesan daripada perkembangan konflik berkenaan walaupun bukan pihak yang terlibat secara langsung.

“Hubungan ini bersifat dua hala. Hubungan tersebut telah lama terjalin dan saya percaya ia akan terus berkekalan. Malaysia bukan pihak yang terlibat dalam konflik ini, namun negara ini turut menerima kesan yang besar daripadanya,” katanya.

Prof. Nasr turut menjelaskan bahawa Iran akan terus melihat negara-negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengannya sebagai rakan penting dalam usaha mencari penyelesaian terhadap konflik yang sedang berlaku.

“Saya percaya, seiring perkembangan situasi ini, Iran akan terus melihat negara-negara sahabat serta negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengannya sebagai rakan penting dalam usaha mencari jalan penyelesaian pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kehadiran Prof. Seyyed Vali R. Nasr ke Malaysia memberi ruang penting untuk mendapatkan pandangan yang lebih jelas dan objektif berhubung situasi konflik melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat.

“Beliau adalah antara pakar rujuk dunia dalam isu berkaitan konflik di Iran, termasuk serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat. Beliau merupakan profesor dalam bidang pemikiran politik di Amerika Syarikat dan pada masa sama berketurunan Iran.

“Kehadiran beliau memberi perspektif yang lebih jelas dan objektif mengenai apa yang sebenarnya berlaku di sana,” katanya selepas Syarahan Umum Prof. Seyyed Vali R. Nasr di Putrajaya.