Industri animasi tempatan diperkasa, FINAS dicadang wujud unit khas

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 12 Mei – Kerajaan mencadangkan penubuhan satu bahagian animasi di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi memperkukuh pembangunan industri animasi tempatan yang dilihat berpotensi besar dalam menyumbang kepada ekonomi kreatif negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Industri animasi tempatan pernah mendapat perhatian antarabangsa; studio luar menggunakan khidmat animator Malaysia.
  • Upin & Ipin menjadi antara eksport kandungan paling berjaya ke Indonesia.
  • Usaha perlu diperkukuh supaya lebih banyak harta intelek tempatan dapat diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
  • FINAS perlu meneliti, memahami dan membangunkan industri animasi secara menyeluruh; penekanan pada kualiti kandungan dan produksi untuk daya saing global.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu penting memandangkan industri animasi tempatan pernah mendapat perhatian antarabangsa, termasuk studio luar negara yang menggunakan khidmat animator Malaysia.

Beliau turut mencontohkan kejayaan animasi seperti Upin & Ipin yang menjadi antara eksport kandungan popular di Indonesia.

“Antara eksport animasi paling berjaya Malaysia ke Indonesia ialah Upin & Ipin. Justeru, usaha perlu diperkukuh supaya lebih banyak harta intelek (IP) tempatan dapat diketengahkan ke peringkat antarabangsa melalui penubuhan bahagian animasi yang khusus.

“Sektor animasi juga merupakan kandungan digital penting di bawah seliaan FINAS kerana setiap tayangan perlu mendapatkan sijil. Oleh itu, FINAS perlu mempunyai satu bahagian khusus bagi meneliti, memahami dan membangunkan industri animasi secara lebih menyeluruh,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Kementerian Komunikasi Bulan Mei 2026 di sini.

Tambah beliau, industri seni dan perfileman negara ketika ini menunjukkan perkembangan memberangsangkan, namun penekanan turut perlu diberikan terhadap kualiti kandungan serta produksi bagi memastikan daya saing terus meningkat di peringkat global.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.