
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Perbuatan menghina sahabat Rasulullah S.A.W adalah haram dan termasuk dalam dosa besar dalam Islam kerana mereka merupakan generasi terbaik yang dipilih serta dipuji oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran, khususnya dalam Surah At-Taubah.
- Dr Zulkifli Hasan tegaskan sahabat bersama Rasulullah dalam perjuangan menyebarkan Islam.
- Beliau kata mencaci sahabat sama seperti menghina mereka yang berjuang bersama Rasulullah.
- Seru umat Islam jaga adab dan hormat, pelihara tutur kata dan penulisan di media sosial.
- Isu penghinaan tular perlu ditangani dengan hikmah dan kesedaran untuk elak perpecahan umat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan menegaskan, para sahabat merupakan individu yang bersama-sama Rasulullah S.A.W dalam perjuangan menegakkan serta menyebarkan agama Islam.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan di laman sosial Facebook, sambil menegaskan bahawa perbuatan mencaci golongan sahabat sama seperti menghina insan yang berjuang bersama Rasulullah S.A.W dalam mempertahankan agama Islam.
Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam agar sentiasa menjaga adab serta menghormati para sahabat dengan memelihara tutur kata dan penulisan, khususnya di media sosial, agar tidak mencemarkan kemuliaan mereka.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa isu berkaitan penghinaan terhadap sahabat Rasulullah S.A.W yang tular di media sosial sebelum ini wajar ditangani dengan penuh hikmah dan kesedaran, agar tidak menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.