
BANGI, 12 MEI – Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia 2026 (IGEM 2026) dijangka mampu menjana potensi perniagaan bernilai RM22.5 bilion serta menarik kehadiran 60,000 pengunjung dari seluruh dunia.
- IGEM 2026 edisi ke-17 berlangsung 7-9 Oktober di Kuala Lumpur, disertai pempamer dari sekitar 50 negara dengan 450 gerai pameran.
- Tema "Race Towards Net Zero: Action Over Boundaries" menekankan kerjasama merentas industri dan sempadan untuk menangani krisis iklim bersama.
- Tambahan segmen baharu termasuk fesyen, kosmetik, pembangunan hartanah, gaya hidup lestari, makanan dan mobiliti masa hadapan fokus kenderaan elektrik.
- Akses pembiayaan inovatif dan insentif seperti GITA serta GTFS dianggap kunci membantu pengusaha mengadaptasi teknologi hijau.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, edisi ke-17 yang dijadualkan berlangsung pada 7 hingga 9 Oktober depan di Kuala Lumpur itu akan disertai oleh pempamer daripada kira-kira 50 buah negara melalui penyediaan 450 gerai pameran.
Mengangkat tema “Race Towards Net Zero: Action Over Boundaries”, IGEM 2026 menekankan keperluan mendesak untuk memperkukuh kerjasama merentasi industri dan sempadan dalam menangani krisis iklim global secara bersama.“Idea utamanya adalah untuk menembusi industri secara menyeluruh.
Terdapat beberapa pembaharuan dalam IGEM tahun ini di mana kami menambah beberapa seksyen baharu bagi memenuhi cita rasa masyarakat yang kian berkembang.
Ini termasuk segmen fesyen, kosmetik, dan pembangunan hartanah yang pastinya lebih menarik untuk penyertaan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran awal IGEM 2026 di sini, hari ini.
Edisi kali ini bakal menampilkan beberapa segmen inovatif merangkumi gaya hidup lestari dalam sektor makanan dan kosmetik, serta segmen mobiliti masa hadapan yang memfokuskan kepada kenderaan elektrik (EV).
Mengulas mengenai cabaran industri, Datuk Seri Arthur menjelaskan bahawa akses kepada pembiayaan inovatif adalah kunci untuk memacu sasaran kelestarian negara.
“Inovasi kewangan adalah sumber yang besar. Kami telah membantu industri menerusi insentif cukai seperti Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) bagi memudahkan pengusaha mengadaptasi teknologi hijau,” tambah beliau.
Malaysia juga telah meningkatkan sasaran pengurangan pelepasan karbon kepada 15 hingga 30 juta tan karbon dioksida menjelang 2035, selari dengan Strategi Pembangunan Pelepasan Rendah Jangka Panjang (LT-LEDS) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi mencapai status sifar bersih pada 2050.
Selain pameran, Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS) akan turut diadakan sebagai platform utama bagi pemegang taruh membincangkan dasar iklim, kewangan lestari, serta penyahkarbonan perindustrian di peringkat serantau.