Kerajaan pertingkat penyelarasan bantuan hadapi kos sara hidup

Akmal Nasrullah Mohd Nasir/RTM

PUTRAJAYA, 12 Mei- Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersetuju supaya penyelarasan inisiatif, usaha dan bantuan kerajaan dipertingkatkan bagi memastikan penyampaian kepada kumpulan sasaran terutama golongan miskin dan rentan lebih berkesan, susulan tekanan kos sara hidup yang mula dirasai sebahagian rakyat di kawasan luar bandar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Setiausaha Negara akan susulan dengan semua Ketua Setiausaha Kementerian untuk memastikan bantuan sampai lebih berkesan kepada kumpulan sasaran.
  • MTEN menyuarakan kebimbangan bahawa golongan di luar bandar mula merasai tekanan harga barangan harian walaupun harga makanan kekal terkawal.
  • Beberapa bahan makanan terpilih menunjukkan turun naik minggu tersebut, dengan sebahagian barangan mencatatkan kenaikan harga.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata penyelarasan itu akan dilaksanakan melalui tindakan susulan Ketua Setiausaha Negara bersama semua Ketua Setiausaha Kementerian bagi memastikan bantuan sampai secara lebih berkesan kepada kumpulan sasar.

Beliau berkata perkara tersebut dibincangkan dalam MTEN selepas mengambil kira perkembangan harga beberapa bahan makanan terpilih yang menunjukkan pergerakan meningkat, meskipun secara keseluruhan paras harga makanan masih berada dalam keadaan terkawal.

“Walaupun statistik menunjukkan pergerakan harga makanan dilihat terkawal, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan ahli MTEN melahirkan kerisauan bahawa terdapat golongan rakyat di sesetengah kawasan terutamanya di luar bandar telah mula merasai tekanan harga barangan harian,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bagi tempoh 4 hingga 6 Mei 2026, harga bahan makanan terpilih mencatat pergerakan antara penurunan dua peratus hingga kenaikan 6.7 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Katanya, harga daging lembu menurun 1.4 peratus daripada RM36.40 sekilogram kepada RM35.88 sekilogram, manakala harga ayam standard kekal hampir stabil sekitar RM9.50 hingga RM9.51 sekilogram.

Namun, beberapa barangan mencatat kenaikan termasuk ikan kembung yang meningkat 3.9 peratus kepada RM17.42 sekilogram, udang putih naik 1.2 peratus kepada RM32.11 sekilogram, sawi meningkat empat peratus kepada RM7.23 sekilogram serta santan kelapa segar yang naik 6.7 peratus kepada RM16.88 sekilogram.

Sementara itu, beliau memaklumkan penggunaan pengangkutan awam terus mencatat peningkatan pada April 2026 apabila sebahagian rakyat menyesuaikan corak mobiliti kepada pilihan yang lebih kos efektif susulan ketidaktentuan kos global ketika ini.

Penyesuaian tersebut mencerminkan perubahan tingkah laku pengguna dalam mengurus perbelanjaan harian selaras dengan keadaan semasa.

“Purata penumpang rel pada April 2026 meningkat kepada 1,085,580 penumpang sehari, iaitu peningkatan 7.6 peratus berbanding Mac 2026. Manakala purata penumpang bas pula meningkat kepada 227,448 penumpang sehari, meningkat 10.3 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata purata permintaan maksimum penggunaan tenaga elektrik bagi tempoh 4 hingga 10 Mei 2026 meningkat sedikit sebanyak 1.4 peratus kepada 20,097 megawatt (MW) berbanding 19,815 MW pada minggu sebelumnya.