Mohamad Aniq raih tiga perak di India

Mohamad Aniq Kasdan meraih tiga perak dalam Kejohanan Angkat Berat Asia 2026. – Foto AWF

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Mohamad Aniq Kasdan terus membuktikan reputasinya sebagai badang negara apabila membawa pulang tiga pingat perak pada Kejohanan Angkat Berat Asia 2026 di India, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pingat perak acara snatch dengan angkatan 122kg.
  • Pingat perak dalam clean & jerk selepas angkatan 155kg.
  • Jumlah keseluruhan 277kg memberi satu lagi pingat perak dan suntikan keyakinan menjelang Sukan Komanwel 2026.

Atlet negara itu yang beraksi dalam kategori 60 kilogram (kg) berjaya meraih pingat perak menerusi acara snatch selepas melakukan angkatan 122kg.

Mohamad Aniq, 24, menambah satu lagi perak dalam clean & jerk dengan angkatan 155kg.

Tiga pingat perak yang diraih Mohamad Aniq Kasdan di Kejohanan Angkat Berat Asia 2026. – Foto Aniq Kasdan

Angkatan berkenaan menyaksikan badang negara itu mengumpul angkatan keseluruhan 277kg untuk menghadiahkan satu lagi pingat perak buat kontinjen negara.

Kejayaan tersebut sekali gus memberi suntikan keyakinan kepada atlet itu menjelang cabaran lebih besar di Sukan Komanwel 2026 di Glasgow dari 23 Julai hingga 2 Ogos depan.

Pingat emas milik atlet Korea Utara, Pang Un-chol, manakala gangsa milik atlet Vietnam, Lại Gia Thành. – Foto AWF

Pingat emas kategori berkenaan menjadi milik atlet Korea Utara, Pang Un-chol yang mendominasi ketiga-tiga acara menerusi angkatan 130kg bagi snatch dan 174kg dalam clean & jerk untuk jumlah keseluruhan 304kg angkatan.

Sementara itu, atlet Vietnam, Lại Gia Thành meraih pingat gangsa selepas mencatat jumlah keseluruhan 267kg.

Mohamad Aniq dijangka kembali menjadi sandaran utama negara di pentas Sukan Komanwel selepas pernah menghadiahkan emas buat Malaysia dalam kategori 55kg pada edisi lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.