Peningkatan kuota BUDI95, BUDI Diesel bantu kekalkan inflasi stabil

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Peningkatan kuota bahan api bersubsidi menerusi BUDI MADANI (BUDI95) dan BUDI Diesel dijangka memberi impak positif terhadap kadar inflasi negara, selain membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kelayakan asas BUDI95 dikembalikan kepada 300 liter sebulan; BUDI Diesel ditingkatkan sehingga 400 liter sebulan.
  • Langkah itu dijangka mengekalkan trajektori inflasi stabil dan membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi.
  • Impak fiskal boleh diminimumkan dengan pengurusan peruntukan berhemah dan penjelasan pembiayaan perlu bagi meyakinkan pelabur.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, keputusan kerajaan mengembalikan had kelayakan kuota asas BUDI95 kepada 300 liter sebulan serta meningkatkan kelayakan BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan, dijangka membantu mengekalkan trajektori inflasi pada tahap stabil dan terkawal.

“Buat masa ini, kalau kita lihat pada suku kedua yang lalu, pertumbuhan atau kenaikan kadar inflasi telah meningkat kepada 1.9 peratus berbanding 1.6 peratus pada suku pertama.

“Apabila langkah ini dilaksanakan, iaitu peningkatan dari segi kuota bahan api bersubsidi, ia sudah pasti dapat mengekalkan trajektori inflasi supaya kekal stabil.

“Justeru, ini tentunya dapat membantu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara selaras dengan keadaan inflasi yang dilihat terkawal,” katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau berkata, peningkatan kuota berkenaan turut membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat, selain memberi manfaat kepada komuniti peniaga dalam menguruskan kos operasi, khususnya perbelanjaan bahan api.

Mengulas kesan langkah itu terhadap kedudukan fiskal kerajaan, Mohd Afzanizam berkata impaknya boleh diminimumkan sekiranya peruntukan kerajaan diurus secara berhemah bagi memastikan kelestarian kewangan negara terus terpelihara.

“Saya kira pengumuman ini dilihat secara positif, namun apa yang mungkin boleh diperbaiki adalah bagaimana kerajaan menerangkan dengan lebih jelas mengenai program-program yang diumumkan, khususnya dari segi kaedah pembiayaannya.

“Apabila maklumat ini dapat diberikan dengan jelas, komuniti pelabur sudah pasti akan mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai hala tuju dan disiplin kewangan kerajaan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kelayakan asas BUDI95 dikembalikan daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, sekali gus memberi manfaat kepada 16 juta pengguna bahan api berkenaan.

Dalam masa sama, lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel layak menerima BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.