
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM83 bilion di bawah Belanjawan 2027 merupakan sebahagian daripada peruntukan RM430 bilion bagi tempoh lima tahun menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Timbalan Setiausaha Bahagian Fiskal dan Ekonomi (FED) Kementerian Kewangan, Rozita Abd Matalib
- Tingkatkan kapasiti produktif negara, pacu ekonomi bernilai tinggi dengan fokus pada pembuatan bernilai tinggi, aktiviti digital dan peralihan tenaga.
- Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Strategi Semikonduktor sokong penaiktarafan industri, reka bentuk litar, pembungkusan termaju dan pembangunan teknologi.
- Pelaburan dalam tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga dan pengukuhan grid tingkatkan keselamatan tenaga dan wujudkan peluang dalam industri baharu.
- Pendigitalan dan kecerdasan buatan tambah baik pembuatan, tingkatkan kecekapan perniagaan; pengkomersialan penyelidikan dan TVET lengkapi keperluan industri.
Menurut beliau, peruntukan itu bertujuan meningkatkan kapasiti produktif negara dan memacu pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi.
Katanya, hala tuju itu selaras dengan sasaran RMK13 untuk meningkatkan daya saing ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
“Keutamaan ialah pembuatan bernilai tinggi, aktiviti digital dan peralihan tenaga, perkhidmatan bernilai tinggi, termasuk perkhidmatan profesional dan teknikal, turut diberi tumpuan bagi menyokong penaiktarafan industri serta mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi.
“Selain itu, kita juga mempunyai Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, dengan pelaburan dalam tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga dan pengukuhan grid elektrik bagi menyokong keselamatan tenaga serta mewujudkan peluang dalam industri baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Webinar ‘MARC360: Decoding Budget 2027 – The Economy and What Comes Next’, hari ini.
Panel lain ialah Ketua Ekonomi MARC Ratings, Prof Adjung Dr Ray Choy dan Penasihat Kanan Polisi Cukai KPMG Malaysia, Dr Veerinderjeet Singh, manakala Naib Presiden Strategi dan Panduan Kredit Kumpulan Moody’s Ratings, Deborah Tan bertindak sebagai moderator.
Rozita berkata, penaiktarafan industri turut menjadi teras utama melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional.
Kedua-dua inisiatif itu menyokong peralihan Malaysia kepada aktiviti bernilai tinggi, termasuk reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju dan pembangunan teknologi.
Usaha itu juga bertujuan menggalakkan syarikat tempatan membangunkan harta intelek sendiri serta menembusi pasaran antarabangsa.
Beliau berkata, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) turut memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi.
Penggunaan teknologi itu secara praktikal mampu menambah baik proses pembuatan, meningkatkan kecekapan perniagaan dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan.
Selain itu, pengkomersialan hasil penyelidikan serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang memenuhi keperluan industri penting bagi melengkapi pelaburan teknologi.
Langkah itu juga dapat memperkukuh keupayaan perusahaan tempatan untuk bersaing dalam ekonomi bernilai tinggi.