
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Majikan perlu meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi bagi menampung kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000, tanpa memindahkan peningkatan kos kepada pengguna.
- Kedudukan kewangan syarikat menentukan kemampuan melaksanakan kenaikan gaji; perusahaan kecil bermargin rendah mungkin sukar menyesuaikan struktur gaji.
- Majikan perlu menyemak struktur gaji, memperbaiki kaedah kerja dan memanfaatkan teknologi baharu untuk tingkatkan produktiviti dan daya saing.
- Perusahaan kecil perlukan bantuan agensi kerajaan dan bimbingan; pekerja perlu latihan semula untuk tugasan bernilai tinggi, elak bebankan pengguna.
Penasihat Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, kesan kenaikan RM300 sebulan itu berbeza mengikut saiz syarikat, kedudukan kewangan serta tahap produktiviti pekerja.
“Kesediaan majikan bergantung kepada kedudukan kewangan syarikat masing-masing. Syarikat yang mencatat keuntungan kecil dan mempunyai margin keuntungan yang rendah mungkin menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan struktur gaji kepada kadar baharu.
“Justeru, kemampuan kewangan syarikat menjadi faktor penting dalam menentukan sejauh mana mereka dapat melaksanakan kenaikan gaji minimum ini,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Biz Malaysia di Angkasapuri.
Beliau berkata, majikan perlu menyemak semula struktur gaji, memperbaiki kaedah kerja, meningkatkan produktiviti serta memanfaatkan teknologi baharu bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing syarikat.
Menurutnya, kenaikan gaji turut berpotensi mencetuskan kesan berantai terhadap kos operasi apabila pembekal bahan mentah dan pengeluar menaikkan harga, sekali gus memberi tekanan kepada pengguna.
Justeru, beliau berpandangan peningkatan produktiviti penting bagi memastikan kenaikan kos tidak dipindahkan sepenuhnya kepada pasaran.
Tambahnya, perusahaan kecil yang mempunyai margin keuntungan terhad memerlukan bantuan dan bimbingan agensi kerajaan untuk menyesuaikan operasi dengan teknologi baharu.
Pada masa sama, pekerja perlu diberi latihan semula bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas bernilai tinggi dan memperoleh pendapatan lebih baik, tanpa bergantung semata-mata kepada kadar gaji minimum.