
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Strategi 3P merangkumi platform, permit dan promosi menjadi antara pendekatan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menembusi pasaran global.
- Pendekatan bukan sekadar penyenaraian produk di platform antarabangsa.
- Fokus pada pematuhan syarat kemasukan pasaran dan promosi untuk tingkatkan daya saing produk tempatan.
- Kementerian mengadakan perbincangan kerjasama dengan platform e-dagang antarabangsa, termasuk Alibaba.
- Kerajaan mahu bentuk ekosistem e-dagang rentas sempadan dua hala; eksport PKS berkembang lebih 10% tahun lalu, sumbang kira-kira 15% eksport negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, pendekatan itu bukan hanya melibatkan penyenaraian produk di platform antarabangsa sahaja.
Fokus turut tertumpu kepada aspek pematuhan syarat kemasukan pasaran serta promosi bagi meningkatkan daya saing produk tempatan.
“Tiada gunanya kita meletakkan PKS Malaysia di platform global yang mempunyai berbilion-bilion syarikat dan produk disenaraikan jika akhirnya produk kita tenggelam dalam persaingan,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Eksport Enterprise 50 (E50), di sini.
Jelas Steven lagi, kementeriannya turut membincangkan kerjasama dengan platform e-dagang antarabangsa termasuk Alibaba bagi membantu perniagaan Malaysia membawa produk dan perkhidmatan tempatan ke pasaran dunia.
Menurutnya, kerajaan mahu membentuk ekosistem e-dagang rentas sempadan dua hala supaya aliran perdagangan tidak hanya tertumpu kepada kemasukan barangan asing ke Malaysia, sebaliknya turut membuka ruang lebih luas kepada produk tempatan menembusi pasaran luar.
Eksport PKS berkembang lebih 10 peratus tahun lalu dan menyumbang kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan eksport negara.