
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Peluasan kelayakan subsidi diesel bersasar kepada syarikat kecil dan kontraktor tempatan dapat mengurangkan tekanan kos operasi, selain memastikan bantuan disalur tepat kepada kumpulan sasar.
- Peluasan subsidi diesel kepada syarikat kecil dan kontraktor tempatan mengurangkan tekanan kos operasi serta memastikan bantuan disalur tepat kepada kumpulan sasar.
- Langkah ini mencerminkan usaha kerajaan menyusun keutamaan subsidi untuk menyokong aktiviti ekonomi dan sektor pemacu utama.
- Syarikat kecil serta kontraktor diberi kuota diesel bersubsidi 300 liter sebulan melalui kad armada bagi kenderaan perniagaan berdaftar.
Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education (CME), Dr. Carmelo Ferlito berpandangan langkah itu mencerminkan usaha kerajaan menyusun keutamaan pemberian subsidi bagi menyokong aktiviti ekonomi.
“Penggunaan bahan api dalam sektor serta aktiviti yang menjadi pemacu utama ekonomi negara perlu terus disokong. Oleh itu, sebagai sebahagian daripada usaha merasionalisasikan dasar subsidi, langkah itu dilihat dapat memastikan keutamaan diberi kepada sektor-sektor kritikal, sekali gus menghala ke arah dasar yang lebih tepat dan bersasar,”katanya kepada RTM.
Untuk jangka panjang, beliau berpendapat kerajaan wajar beralih kepada sistem harga bahan api yang ditentukan oleh kuasa pasaran berdasarkan penawaran dan permintaan, bagi membolehkan ekonomi berkembang secara mampan serta berdaya tahan.
“Pada masa yang sama, sumber kewangan kerajaan perlu disasarkan bagi membantu individu atau perniagaan yang benar-benar memerlukan melalui sistem bantuan atau baucar bersasar dan bukannya menerusi mekanisme subsidi yang mengakibatkan harga tidak mencerminkan keadaan sebenar pasaran,”katanya lagi.
Pada 18 Julai lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan syarikat kecil dan kontraktor tempatan diberi kuota diesel bersubsidi sebanyak 300 liter sebulan menerusi kad armada.
Kemudahan itu melibatkan kenderaan diesel yang didaftarkan atas nama syarikat perkongsian atau milikan tunggal bagi kegunaan perniagaan.
Kategori berkenaan sebelum ini tidak termasuk dalam dua sektor di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), iaitu pengangkutan awam serta pengangkutan barangan atau keperluan pengguna.