Produktiviti sektor utama pacu prestasi perdagangan Malaysia

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Peningkatan produktiviti dalam sektor-sektor utama ekonomi terus menjadi pemacu kepada prestasi perdagangan Malaysia apabila negara merekodkan nilai perdagangan bulanan tertinggi pada Jun 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Produktiviti sektor utama, terutamanya elektrik dan elektronik, terus menyumbang kepada prestasi perdagangan yang memberangsangkan.
  • MPC memantau sektor terjejas dan mencadangkan penambahbaikan melalui platform Nexus Produktiviti untuk tangani cabaran rantaian bekalan.
  • Jabatan Perangkaan melaporkan perdagangan mengukuh disokong pertumbuhan eksport dan import, mencerminkan daya tahan berdepan cabaran global.

Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dr. Mohamad Norjayadi Tamam berkata, meskipun landskap ekonomi global masih mencabar, beberapa sektor strategik seperti elektrik dan elektronik (E&E) terus mencatat pertumbuhan produktiviti yang memberangsangkan.

Bagaimanapun, sektor tertentu seperti logistik masih berada dalam fasa penyesuaian berikutan perubahan dalam rantaian bekalan global.

Menurut beliau, kerajaan menerusi MPC sentiasa memantau perkembangan sektor yang terjejas serta mengesyorkan langkah penambahbaikan bagi merancakkan semula pertumbuhan sektor berkaitan.

“MPC sentiasa mengenal pasti sektor yang terkesan serta menyalurkan input berkaitan cabaran rantaian bekalan menerusi platform Nexus Produktiviti, bagi membolehkan kementerian dan agensi berkaitan mengambil tindakan yang bersesuaian.

“Usaha ini turut diperkukuh melalui Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (PEMUDAH) yang berperanan menggariskan strategi terbaik bagi membantu syarikat mengurangkan impak ketidaktentuan ekonomi global,” katanya kepada RTM selepas program Biz Malaysia.

Beliau berkata, pendekatan berterusan itu penting bagi memperkukuh daya saing syarikat tempatan di samping mengekalkan momentum pertumbuhan produktiviti dan prestasi perdagangan negara.

Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan prestasi perdagangan negara terus mengukuh pada Jun 2026 apabila jumlah dagangan meningkat 44.7 peratus kepada RM340.9 bilion berbanding RM235.6 bilion yang direkodkan pada bulan yang sama tahun lalu.

Prestasi positif itu disokong oleh pertumbuhan berterusan eksport dan import, sekali gus mencerminkan daya tahan sektor perdagangan negara walaupun berdepan cabaran ekonomi global.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.