
PUTRAJAYA, 21 Julai – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) tampil menjelaskan platform ‘Pay Day Now’ bukan kemudahan yang diwajibkan dan tidak melibatkan semua majikan atau pekerja di Malaysia.
- Kemudahan dibangunkan sepenuhnya oleh pihak swasta: Ramsol Group bersama AmBank.
- Bukan dasar atau program kerajaan KUSKOP.
- Kehadiran Menteri Steven Sim hanya sebagai saksi pemeteraian Memorandum Perjanjian.
- Maklumat lanjut, kelayakan dan syarat penyertaan boleh diperoleh daripada Ramsol Group atau AmBank.
Menerusi kenyataan dimaklumkan, kemudahan berkenaan merupakan inisiatif komersial yang dibangunkan sepenuhnya oleh pihak swasta, iaitu Ramsol Group dengan kerjasama AmBank.
”Ia bukan merupakan dasar, inisiatif atau program kerajaan mahupun KUSKOP.Kehadiran Menteri, Steven Sim pada majlis pelancaran semalam adalah atas jemputan sebagai saksi kepada pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Ramsol Group dan AmBank,”jelas kementerian merujuk beberapa kenyataan berkaitan perkhidmatan itu di media sosial.
Tambah KUSKOP, perkhidmatan ‘Pay Day Now’ ditawarkan secara sukarela dan hanya melibatkan majikan yang memilih untuk menyertainya serta pekerja yang layak, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan penyedia perkhidmatan.
Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan, kelayakan, syarat penyertaan atau ciri-ciri perkhidmatan ‘Pay Day Now’ boleh diperoleh orang ramai dengan menghubungi Ramsol Group atau AmBank.