
SEREMBAN, 21 Julai – Peruntukan hampir RM7 bilion disalur Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerusi inisiatif ‘Power Up 10K’ yang membantu lebih 213,000 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di seluruh negara sepanjang tempoh enam bulan pertama 2026.
- Dana disalur menerusi pelbagai program sokongan dan pembiayaan di bawah inisiatif Power Up 10K, menyasarkan RM15 bilion sepanjang tahun ini.
- Di Negeri Sembilan, RM345 juta disalur kepada lebih 6,600 usahawan melalui program Power Up 10K.
- Hala tuju baharu ditetapkan untuk menjadikan agensi kementerian barisan hadapan efisien dan tingkatkan kesedaran mengenai skim serta kemudahan.
Menterinya, Steven Sim memberitahu dana itu disalur menerusi pelbagai program sokongan serta pembiayaan di bawah inisiatif yang menyasarkan RM15 bilion sepanjang tahun ini.
“Kejayaan menyaksikan komitmen berterusan kementerian dalam memastikan sektor PMKS kekal berdaya saing serta berupaya mendepani pelbagai cabaran ekonomi global.
“Di Negeri Sembilan sahaja, RM345 juta ringgit disalur kepada lebih 6,600 usahawan melalui program ‘Power Up 10K’,”katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bersama Warga dan agensi KUSKOP Negeri Sembilan.
Beliau dalam pada itu memaklumkan hala tuju baharu, ditetapkan bagi memastikan semua agensi di bawah kementerian bertindak sebagai barisan hadapan yang efisien dalam membantu peniaga.
Langkah itu memastikan lebih ramai usahawan mengetahui skim, program dan kemudahan yang disediakan.