
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Permintaan domestik yang terus kukuh mendorong Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyemak naik unjuran Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) 2026 kepada 800,000 unit berbanding sasaran awal sebanyak 790,000 unit.
- Jualan separuh pertama 2026 kukuh, mencapai hampir 50 peratus sasaran tahunan dengan TIV meningkat tiga peratus berbanding tahun lalu.
- Jualan xEV melonjak 69 peratus kepada 51,782 unit; unjuran xEV akhir tahun disemak naik kepada 120,000 unit.
- Jenama nasional mengukuhkan penguasaan pasaran kepada 67 peratus, dipacu perkembangan Proton dalam segmen EV.
Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, semakan itu dibuat berikutan prestasi jualan kenderaan baharu yang memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini, sekali gus mencerminkan momentum pertumbuhan industri automotif negara yang berterusan.
“Separuh pertama 2026 telah mencapai hampir 50 peratus daripada sasaran tahunan. Lazimnya, momentum pada separuh kedua tahun akan menjadi lebih tinggi dengan pelbagai promosi, pelancaran model baharu dan aktiviti pasaran oleh pengeluar. Justeru, kami melihat sasaran 800,000 unit adalah munasabah untuk dicapai tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Semakan Prestasi Jualan dan Pengeluaran Kenderaan Bermotor Baharu bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 di Kuala Lumpur.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, industri automotif Malaysia merekodkan TIV sebanyak 385,353 unit, meningkat tiga peratus berbanding 373,636 unit dalam tempoh sama tahun lalu. Jumlah itu mewakili 49 peratus daripada unjuran tahunan asal MAA.
Dalam tempoh sama, jumlah pengeluaran kenderaan (TIP) turut meningkat 1.2 peratus kepada 356,946 unit berbanding 352,626 unit pada separuh pertama 2025.
Menurut MAA, pertumbuhan jualan dipacu peningkatan permintaan terhadap kenderaan utiliti sukan (SUV) yang meningkat 19 peratus, selain pelancaran model baharu khususnya dalam segmen kenderaan elektrik dan hibrid (xEV).
Jualan xEV yang merangkumi kenderaan elektrik bateri (BEV), hibrid (HEV), hibrid plug-in (PHEV) dan kenderaan sel bahan api (FCEV) melonjak 69 peratus kepada 51,782 unit bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.
Sejajar dengan prestasi itu, MAA turut menyemak naik unjuran jualan xEV bagi keseluruhan tahun kepada 120,000 unit berbanding sasaran awal 100,000 unit, dengan BEV dan HEV masing-masing dijangka menyumbang kira-kira 60,000 unit.
Dalam perkembangan sama, Mohd Shamsor berkata jenama automotif nasional terus mengukuhkan penguasaan pasaran apabila menyumbang 67 peratus daripada jumlah jualan kenderaan baharu, meningkat daripada 63 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.
“Momentum ini banyak didorong oleh perkembangan Proton dalam segmen EV dan kami menjangkakan prestasi itu akan terus kekal sehingga penghujung tahun,” katanya.
Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, jenama nasional mencatat jualan sebanyak 256,304 unit, manakala jenama bukan nasional merekodkan 129,049 unit.
Bagaimanapun, segmen kenderaan komersial khususnya pikap terus mencatat penurunan jualan sebanyak 11 peratus berikutan kesan perubahan dasar subsidi diesel sebelum ini.
Bagi separuh kedua tahun ini, MAA menjangkakan permintaan akan terus disokong oleh pelancaran model SUV dan xEV baharu, keadaan pasaran pekerjaan yang stabil, pertumbuhan pendapatan isi rumah serta keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
Bagaimanapun, persatuan itu kekal berwaspada terhadap cabaran luaran termasuk ketidaktentuan geopolitik, turun naik kadar pertukaran mata wang dan perubahan landskap perdagangan global yang berpotensi mempengaruhi prestasi industri automotif negara.