
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan Skim Pembuatan Pintar bagi memperluas akses pembiayaan serta menyokong pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan syarikat peringkat pertengahan dalam sektor strategik.
- Nisbah pelaburan kerajaan kepada swasta 2:1 sehingga 2030 untuk skim di bawah NIMP CoSIF.
- Mensasarkan syarikat yang melaksanakan transformasi pembuatan pintar melalui automasi, Industri 4.0, pendigitalan dan inisiatif peningkatan produktiviti.
- Nisbah pelaburan bersama bagi sektor lain dinaikkan kepada 1:1 sehingga akhir 2027, mempercepat penyaluran modal dan mengukuhkan syarikat tempatan.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak memaklumkan skim baharu di bawah Dana Pelaburan Bersama Strategik Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP CoSIF) itu menawarkan nisbah pelaburan kerajaan kepada swasta sebanyak dua nisbah satu sehingga 2030.
Ia menyasarkan syarikat yang melaksanakan transformasi pembuatan pintar menerusi automasi, penerapan Industri 4.0, pendigitalan serta inisiatif peningkatan produktiviti.
“Bagi sektor lain, nisbah pelaburan bersama turut dinaikkan sementara daripada satu nisbah dua kepada satu nisbah satu sehingga akhir 2027.
“Langkah itu dijangka mempercepat penyaluran modal, selain membantu syarikat tempatan mengekalkan pertumbuhan, memperkukuh daya tahan dan mengembangkan operasi,” menurut kenyataan itu.
Sehingga akhir Jun lalu, NIMP CoSIF memudah cara pembiayaan awam dan swasta berjumlah RM185 juta kepada 40 syarikat Malaysia.