
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah hari ini susulan kelemahan niaga hadapan serantau serta pengukuhan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
- Sentimen pasaran terjejas oleh konflik AS-Iran dan kebimbangan permintaan selepas EU mengenakan duti antilambakan terhadap tayar China.
- Jualan kenderaan elektrik meningkat 7% pada Jun kepada dua juta unit, menyokong permintaan walaupun kelemahan di China dan Amerika Utara.
- Niaga hadapan getah Jepun susut selepas EU mengenakan duti antara 4.3% hingga 45.3% ke atas import tayar penumpang dan trak ringan dari China.
- Hujan lebat dijangka 5-11 Julai menjejaskan penorehan di Thailand, menimbulkan kebimbangan bekalan getah asli dalam jangka pendek.
Seorang peniaga berkata sentimen pasaran terus terjejas berikutan konflik AS-Iran yang masih berlarutan serta kebimbangan baharu terhadap permintaan eksport selepas Kesatuan Eropah (EU) mengenakan duti antilambakan ke atas import tayar dari China.
“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya berjaya dihadkan berikutan pertumbuhan berterusan jualan kenderaan elektrik (EV) global, sektor pembuatan China yang kekal berdaya tahan serta kebimbangan terhadap kekurangan bekalan getah susulan cuaca hujan di negara pengeluar utama, Thailand,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun susut selepas EU mengenakan duti antilambakan antara 4.3 peratus hingga 45.3 peratus ke atas import tayar kenderaan penumpang dan trak ringan dari China sekali gus menjejaskan jangkaan permintaan daripada pengeksport China.
Menurut peniaga itu, jualan EV global meningkat tujuh peratus pada Jun kepada dua juta unit dipacu oleh pertumbuhan di Eropah walaupun permintaan di China dan Amerika Utara didapati lebih lemah.
Beliau berkata hujan lebat yang diramalkan berlaku di beberapa kawasan di Thailand dari 5 hingga 11 Julai dijangka menjejaskan aktiviti penorehan getah sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan getah asli dalam tempoh jangka pendek.
Pada 3 petang hari ini, harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun 12 sen kepada 882.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal susut satu sen kepada 729.5 sen sekilogram.- BERNAMA