
MOSCOW, 2 Ogos – Tujuh negara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) bersetuju untuk meningkatkan had pengeluaran minyak mentah sebanyak 188,000 tong sehari bagi bulan September.
- Keputusan dibuat berasaskan komitmen bersama untuk menyokong kestabilan pasaran minyak dunia.
- Pemotongan sukarela 1.65 juta tong sehari sejak April 2023 dilanjutkan sehingga penghujung 2026.
- Negara terbabit akan melaraskan pengeluaran secara fleksibel mengikut perkembangan pasaran dan bersidang semula pada 6 September.
Keputusan itu diumumkan susulan Mesyuarat Maya OPEC+ yang dihadiri wakil dari Arab Saudi, Rusia, Iraq, Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman bagi meneliti keadaan serta prospek pasaran minyak global.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat berkenaan, langkah melaraskan semula pengeluaran daripada pemotongan sukarela yang diumumkan pada April 2023 itu dibuat berasaskan komitmen bersama bagi menyokong kestabilan pasaran minyak dunia.
Pemotongan pengeluaran secara sukarela sebanyak 1.65 juta tong sehari yang berkuat kuasa sejak April 2023 itu sebelum ini telah dilanjutkan sehingga penghujung tahun 2026.
Kenyataan itu turut menambah bahawa kesemua tujuh negara terbabit akan melaraskan pengeluaran secara fleksibel berdasarkan perkembangan semasa pasaran, dan dijadualkan bersidang semula pada 6 September depan bagi menentukan paras pengeluaran untuk bulan Oktober.
Dalam pada itu, OPEC+ akan turut mengadakan mesyuarat maya Jawatankuasa Pemantauan Menteri Bersama (JMMC) secara berasingan.
JMMC berperanan mengemukakan syor menjelang mesyuarat agung dwitahunan OPEC+, yang dijadual berlangsung pada 29 November.
OPEC+ sejak kebelakangan ini tidak membuat sebarang perubahan terhadap kuota keseluruhan pengeluaran minyaknya.
Sebaliknya, organisasi itu memberi tumpuan kepada pelaksanaan pengurangan sukarela pengeluaran minyak sebelum menamatkan langkah itu secara berperingkat. – XINHUA