Keuntungan korporat, aliran dana asing pacu momentum kukuh Bursa Malaysia

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Dagangan di Bursa Malaysia dijangka cenderung untuk meningkat minggu hadapan, disokong oleh keuntungan korporat yang berdaya tahan, aliran masuk dana asing yang semakin baik dan kebimbangan mengenai perdagangan global yang mereda.

RINGKASAN BERITA AI
  • FBM KLCI dijangka kekal meningkat dengan dagangan dalam julat 1,710 hingga 1,740, disokong minat belian institusi dan pelabur asing.
  • Musim laporan keuntungan Ogos boleh memperbaiki sentimen pasaran jika syarikat melaporkan prestasi yang mengatasi jangkaan.
  • Pelabur akan memantau dasar monetari AS, risiko geopolitik dan pergerakan harga komoditi; indikator tenaga kerja AS turut diikuti.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka kekal pada trajektori meningkat dan merekodkan dagangan dalam julat 1,710 hingga 1,740, disokong minat belian institusi dan pelabur asing yang berterusan.

“Memandangkan Ogos merupakan musim pelaporan keuntungan korporat, sentimen pasaran boleh bertambah baik, jika syarikat merekodkan prestasi kewangan yang mengatasi jangkaan.

”Bagaimanapun, pelabur akan terus memantau perkembangan berkaitan dasar monetari Amerika Syarikat (AS), risiko geopolitik dan pergerakan harga komoditi yang boleh mempengaruhi hala tuju pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa petunjuk utama ekonomi AS dijadual dikeluarkan minggu depan, termasuk laporan bulanan Tinjauan Tawaran Pekerjaan dan Pergerakan Tenaga Kerja, Penggajian Bukan Perladangan (NFP) dan kadar pengangguran, yang semuanya dijangka mempengaruhi sentimen pasaran.

Bagi asas mingguan, FBM KLCI meningkat 23.88 mata kepada 1,724.90 daripada 1,701.02 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 melonjak 244.96 mata kepada 18,135.79, Indeks FBM ACE naik 47.81 mata kepada 4,974.68 dan Indeks FBM Emas menambah 162.25 mata kepada 12,751.79.

Sementara itu, Indeks FBMT 100 meningkat 173.15 mata kepada 12,585.11, manakala Indeks FBM Emas Syariah menokok 152.04 mata kepada 12,596.29.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.