Maybank, CIMB sokong penerbitan sukuk token pertama Malaysia

Foto fail

KUALA LUMPUR, 29 April -Maybank dan CIMB menyambut baik kejayaan penetapan harga sukuk token pertama Malaysia oleh Khazanah Nasional Berhad dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, yang menandakan langkah penting dalam evolusi berterusan pasaran modal negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Maybank bertindak sebagai Pengurus Utama Bersama, kustodian dan pelanggan utama bagi penerbitan sukuk token bernilai RM100 juta.
  • CIMB sebagai Penasihat Utama Tunggal, Pengatur Utama Tunggal dan Ejen Kemudahan Tunggal, menyelaras operasi, teknikal dan tadbir urus struktur token.
  • Struktur token menggunakan Teknologi Lejar Teragih, membolehkan pecahan pelaburan serta transaksi lebih lancar dan alternatif pembiayaan.

Maybank dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya akan bertindak sebagai Pengurus Utama Bersama, kustodian serta pelanggan utama bagi terbitan bernilai RM100 juta itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank,Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, inisiatif itu selaras dengan aspirasi ROAR30 bank itu bagi memperkasa ekonomi sebenar, selain menetapkan penanda aras baharu dalam aktiviti pengumpulan dana.

“Penerbit kini mempunyai pembiayaan alternatif yang lebih pelbagai, manakala pelabur memperoleh akses lebih luas melalui pecahan pelaburan serta transaksi yang lebih lancar tanpa halangan,” katanya dalam kenyataan sama.

Sementara itu, CIMB Group Holdings Berhad pula berperanan sebagai Penasihat Utama Tunggal, Pengatur Utama Tunggal dan Ejen Kemudahan Tunggal bagi perintis sukuk token berkenaan.

CIMB turut menyokong keseluruhan proses penerbitan, termasuk penyelarasan aliran kerja operasi, teknikal dan tadbir urus yang diperlukan bagi struktur berasaskan token.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Borong Kumpulan CIMB, Chu Kok Wei berkata, penerbitan sukuk token sulung itu merupakan langkah penting dalam memperkasa aplikasi praktikal teknologi digital dalam rangka kerja yang terkawal dan berwibawa.

“Kami memberi tumpuan untuk menyokong pencapaian ini dengan bekerjasama rapat bersama pengawal selia dan rakan industri bagi memastikan struktur baharu ini kukuh dari segi operasi, boleh diskalakan serta selaras dengan jangkaan pasaran.

Ini selari dengan strategi Forward30 kami yang bertujuan menyediakan penyelesaian yang lebih mudah, lebih baik dan lebih pantas kepada pelanggan,” katanya.

Terdahulu, Khazanah Nasional Bhd dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah melaksanakan penetapan harga bagi sukuk ditokenkan pertama di Malaysia bernilai nominal RM100 juta.

Bon atau sukuk ditokenkan itu merujuk kepada produk pasaran modal yang diwujudkan dalam bentuk digital menggunakan Teknologi Lejar Teragih (DLT).