Ronaldo tolak kemungkinan bersara, mohon maaf tinggalkan kem latihan Portugal

Cristiano Ronaldo/Foto AFP

ISTANBUL, 7 Oktober – Cristiano Ronaldo pada Selasa berkata beliau menolak kemungkinan bersara daripada bola sepak antarabangsa meskipun berselisih faham dengan jurulatih Portugal Jorge Jesus, selain memohon maaf kerana meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan selepas kepercayaannya terhadap jurulatih itu terhakis, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ronaldo berkata beliau akan bersedia beraksi untuk Portugal selepas menjalani penggantungan selagi cergas dan terus menjaringkan gol.
  • Jorge Jesus mengatur pengurusan minit permainan tetapi pada hari bertemu Norway meminta 30 minit lalu tidak menurunkannya walaupun melakukan pemanasan.
  • Perbincangan bersama Simao Coutinho mencapai persetujuan Jesus akan jelaskan perkara itu secara terbuka namun beliau gagal menunaikan janji tersebut.
  • FPF ditugaskan menentukan hukuman; Ronaldo akui kedudukan kapten wajar menjadi faktor pemberat dan masa depannya masih fokus beraksi.

“Jika saya cergas, masih beraksi untuk kelab dan diharapkan terus menjaringkan gol, selepas menjalani penggantungan yang akan dikenakan ke atas saya, saya akan bersedia seperti mana saya sentiasa bersedia sehingga kini untuk bersaing dan meraih kemenangan bersama skuad kebangsaan,” kata Ronaldo dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram.

Ronaldo berkata Jesus mengemukakan kepadanya rancangan untuk menguruskan minit permainannya, termasuk tidak menurunkannya dalam perlawanan di tempat lawan menentang Norway dan Denmark.

Bagaimanapun, menurut Ronaldo, Jesus bertanya kepadanya pada hari perlawanan menentang Norway sama ada beliau bersedia untuk bermain selama 30 minit. Ronaldo bersetuju dan melakukan pemanasan badan ketika rehat separuh masa, namun akhirnya tidak diturunkan.

“Jurulatih telah memungkiri janjinya kepada saya,” kata Ronaldo.

Ronaldo berkata beliau, Jesus dan Pengarah Sukan Al Nassr Simao Coutinho mengadakan perbincangan dua hari kemudian dan bersetuju bahawa jurulatih itu akan menjelaskan secara terbuka keadaan sebenar di sebalik insiden berkenaan.

Beliau berkata Jesus kemudiannya gagal melaksanakan apa yang telah dipersetujui dalam pertemuan itu, yang disifatkannya sebagai kali kedua jurulatih berkenaan memungkiri janji.

“Saya mengambil keputusan meninggalkan kem latihan tanpa menunggu lebih banyak janji dimungkiri. Bagi saya, kebenaran masih perkara paling penting dalam hubungan sesama manusia. Tidak kira betapa menyakitkan sekalipun, saya perlu diberitahu perkara sebenar,” kata Ronaldo.

Meskipun mengkritik Jesus, Ronaldo mengakui tindakannya meninggalkan kem latihan adalah satu kesilapan dan memohon maaf kepada rakan sepasukan.

Ronaldo turut memohon maaf kepada penyokong, termasuk kerana tidak menyapa mereka selepas perlawanan menentang Norway, dan berkata Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) perlu menentukan hukumannya, sambil menambah bahawa kedudukannya sebagai kapten perlu diambil kira sebagai faktor yang memberatkan hukuman.

Penyerang Al Nassr itu berkata beliau pernah mempertimbangkan untuk meninggalkan skuad kebangsaan selepas Piala Dunia 2026, namun mengubah fikiran selepas Presiden FPF memintanya untuk terus mewakili Portugal.

Mengulas spekulasi mengenai masa depannya bersama skuad kebangsaan, Ronaldo berkata perlawanan perpisahan akan tiba juga akhirnya, namun menegaskan fokusnya ketika ini kekal untuk beraksi bersama Portugal.

“Apabila saya memikirkan tentang skuad kebangsaan, apa yang benar-benar saya fikirkan ialah untuk bersaing,” katanya. – BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.