Messi akhiri perjalanan 20 tahun bersama Argentina

Messi meraikan jaringan ketiga Argentina ketika menentang Benin di Stadium Mas Monumental, Buenos Aires. Jaringan itu menjadi gol terakhir Messi bersama skuad Argentina/Foto AFP

BUENOS AIRES, 7 Oktober — Lionel Messi menamatkan karier selama 21 tahun bersama skuad Argentina dengan penuh emosi selepas membantu pasukannya menewaskan Benin 3-0 di Stadium Monumental, Buenos Aires, pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Satu minit penghormatan dan suasana emosional: Messi menitiskan air mata ketika memasuki padang dan lagu kebangsaan diperdengarkan.
  • Messi menjaringkan gol antarabangsa ke-126 melalui penalti, turut membantu gol Otamendi; Nico Paz turut menyumbang jaringan.
  • Messi mengumumkan persaraan antarabangsa, mengakui bangga menyarung jersi lebih 20 tahun dan merasakan inilah masanya.

Lebih 85,000 penyokong hadir menyaksikan penampilan terakhir pemain berusia 39 tahun itu bersama Argentina.

Messi menjaringkan gol ke-126 di peringkat antarabangsa menerusi sepakan penalti pada minit ke-71, selain membantu Nicolas Otamendi membuka jaringan.

Nico Paz turut mencetak gol untuk Argentina.
Pada minit ke-10, permainan dihentikan selama seminit bagi memberi penghormatan kepada Messi yang memakai jersi nombor 10.

Messi tidak dapat menahan sebak ketika memasuki stadium, malah turut menitiskan air mata ketika lagu kebangsaan Argentina dinyanyikan.

Dalam ucapan selepas perlawanan, Messi berkata beliau berbangga dapat menyarung jersi Argentina selama lebih 20 tahun.

“Saya sangat bangga dapat mempertahankan jersi ini selama lebih 20 tahun. Tidak dapat bermain lagi akan sangat menyakitkan. Saya mahu bermain sepanjang hayat kerana mewakili Argentina adalah perkara paling indah yang boleh berlaku kepada saya,” katanya.

Lionel Messi menyarung jersi nombor 10 Argentina selama lebih 20 tahun, sebelum menamatkan karier antarabangsa bersama skuad Argentina/Foto AFP

Bagaimanapun, Messi berkata beliau yakin sudah tiba masanya untuk mengundurkan diri daripada pentas antarabangsa.

“Walaupun saya mahu berada di sini sepanjang hayat, saya rasa inilah masanya. Piala Dunia terakhir terlalu berat, dengan segala yang saya lalui,” katanya

Messi membantu Argentina memenangi Piala Dunia 2022 di Qatar, selain dua kali muncul naib juara pada 2014 dan 2026.

Sepanjang karier antarabangsa, beliau turut membantu Argentina menjuarai Copa America pada 2021 dan 2024. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.