
KUALA LUMPUR, 3 September – Malaysia perlu mengubah kedudukannya daripada sekadar sebuah negara perdagangan kepada negara teknologi bagi memastikan ia terus relevan dalam landskap ekonomi global yang semakin berubah.
- Perkukuh keupayaan teknologi negara melalui pembuatan produk, cip, reka bentuk litar bersepadu dan inovasi berterusan.
- Hidupkan semula pusat bandar dengan pembaikan dan penggunaan semula bangunan kosong melalui pembangunan semula dan ruang guna campur.
- Luaskan ekosistem kewangan ke seluruh negara, bina pusat kepakaran negeri dan manfaatkan potensi semikonduktor, tenaga dan hubungan rentas sempadan.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata, langkah itu perlu disusuli dengan usaha memperkukuh keupayaan teknologi negara, khususnya dalam menghasilkan produk, mencipta teknologi baharu dan melakukan inovasi.
“Dalam landskap teknologi dunia yang semakin terbahagi akibat faktor geopolitik, Malaysia sebagai negara kuasa pertengahan perlu memainkan peranan sebagai penghubung antara pihak yang berbeza.
“Kita masih belum mencapai tahap sebagai negara teknologi sepenuhnya, namun Malaysia sudah mempunyai syarikat semikonduktor yang berpotensi, termasuk dalam bidang reka bentuk litar bersepadu, cip dan peralatan.
“Kita kini berada pada tahap pertengahan dan perlu terus memperkukuh keupayaan ini bagi memastikan Malaysia kekal relevan dan penting dalam rantaian teknologi global,” katanya ketika berucap pada Forum Modal Swasta Malaysia 2026 di sini, hari ini.
Beliau turut mencadangkan agar pembangunan bandar diberi perhatian dengan mengubah pendekatan daripada terus meluaskan kawasan bandar kepada usaha menghidupkan semula pusat bandar dan memanfaatkan semula bangunan yang kosong.
“Kawasan pusat bandar Kuala Lumpur, misalnya, berdepan isu kekosongan bangunan susulan perpindahan sebahagian institusi kewangan ke kawasan baharu seperti Merdeka 118 dan Tun Razak Exchange (TRX).
“Bagaimanapun, keadaan itu boleh dilihat sebagai peluang untuk mentransformasikan kawasan bandar melalui pembangunan semula bangunan sedia ada serta pewujudan ruang bandar berkonsepkan guna campur,” katanya.
Selain itu, ujarnya, Malaysia perlu memperluas ekosistem kewangan ke seluruh negara dan tidak terlalu bergantung kepada Kuala Lumpur sebagai pusat utama aktiviti kewangan.
“Pulau Pinang dan Kulim, misalnya, mempunyai potensi besar untuk sektor teknologi dan semikonduktor, manakala Sarawak mempunyai peluang dalam sektor tenaga.
“Johor pula berpotensi menjadi hab bagi integrasi rantaian bekalan rentas sempadan dengan Singapura, sekali gus membuka ruang kepada pembiayaan dan pelaburan dalam aktiviti berkaitan,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu mampu membantu Malaysia berkembang secara lebih seimbang dari segi geografi, selain mewujudkan pusat kepakaran kewangan yang lebih dekat dengan sektor ekonomi utama di setiap negeri.