Penunggang motosikal tidak mengaku salah langgar dua pelajar

Mohamad Amin Abdul Hamid, 24, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan melanggar dua pelajar sekolah yang video kejadian tular di media sosial (foto kecil)/ RTM

BUKIT MERTAJAM, 1 Oktober- Seorang penunggang motosikal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini atas pertuduhan menunggang secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan dua pelajar sekolah, bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh didakwa menunggang motosikal secara tidak cermat, menyebabkan kemalangan melibatkan dua pelajar sekolah.
  • Kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah pada 7.20 pagi, 23 September.
  • Pertuduhan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, hukuman denda antara RM5,000 dan RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan.
  • Mahkamah membenarkan ikat jamin RM7,000 dan menetapkan 18 November sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mohamad Amin Abdul Hamid, 24, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharifah Razali selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menunggang motosikal secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa sehingga menyebabkan kemalangan terhadap dua pejalan kaki yang juga pelajar sekolah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Permatang Pauh, dalam daerah Seberang Perai Tengah, kira-kira 7.20 pagi pada 23 September lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 dan RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dan menetapkan 18 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.