
SHAH ALAM, 30 Oktober – Selangor FC mengekalkan pendekatan persiapan seperti biasa menjelang aksi final kedua Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) 2026 menentang Pahang Rangers, esok, dalam misi menghidupkan peluang memburu kejuaraan.
- Jurulatih tidak akan ubah persiapan walau tewas 3-4 pada perlawanan pertama; beliau anggap peluang kedua pasukan seimbang.
- Semua pemain disahkan cergas dan bebas kecederaan menjelang perlawanan penentuan.
- Kapten mahu komitmen penuh setiap pemain dan harap sokongan penyokong di laman sendiri menjadi pembakar semangat.
- Selangor perlu menang untuk terus berpeluang menjuarai, manakala lawan hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan gelaran.
Ketua jurulatih Selangor FC, Edgar Eder Baldasso berkata, pasukannya tidak akan mengubah perancangan meskipun tewas 3-4 pada aksi final pertama di Kuantan, sambil menyifatkan peluang kedua-dua pasukan masih seimbang.
“Kami tidak mengubah apa-apa dari segi persiapan. Fokus sepenuhnya adalah untuk meraih kemenangan esok.
“Kami melihat peluang kedua-dua pasukan seimbang, namun mereka mungkin mempunyai sedikit kelebihan selepas kami terpaksa mengharungi masa tambahan pada perlawanan sebelum ini. Bagaimanapun, persiapan kami kekal seperti biasa,” katanya pada sidang media praperlawanan akhir kedua di sini, hari ini.
Baldasso turut mengesahkan semua pemain berada dalam keadaan cergas dan bebas daripada kecederaan menjelang aksi penentuan itu.
Sementara itu, kapten Selangor FC, Khairul Effendy Mohd Bahrin menyifatkan pertembungan esok sebagai perlawanan penentuan yang memerlukan komitmen penuh setiap pemain, dengan sokongan penyokong di laman sendiri diharap menjadi pembakar semangat pasukan.
“Bagi kami, ini adalah perlawanan penentuan. Dengan kelebihan beraksi di laman sendiri serta sokongan penyokong dan keluarga, kami berharap dapat mencatat kemenangan pada aksi final esok,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakan sepasukan agar tidak terlalu bergantung pada rekod terdahulu kerana prestasi sesebuah pasukan boleh berubah, terutama dalam perlawanan akhir.
“Dalam aksi final, tiada kelebihan berdasarkan rekod atau status pasukan. Selangor berhadapan kekalahan kali pertama dan perkara itu terbukti pada aksi final pertama,” katanya.
Selangor FC perlu mencatat kemenangan pada aksi kedua esok untuk menghidupkan peluang merebut kejuaraan, manakala Pahang Rangers hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan gelaran juara MPFL 2026.