
KUALA LUMPUR, 3 September – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mencadangkan agar perluasan kapasiti produktif negara dijadikan tumpuan utama dalam Belanjawan 2027 bagi membolehkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) meningkatkan perlaburan serta memperkukuh rantaian bekalan domestik.
- Perkenalkan semula GST pada kadar tiga peratus, lindungi barangan keperluan asas, permudah pematuhan PKS dan mekanisme bayaran balik boleh dipercayai.
- Menaikkan ambang dan menurunkan kadar cukai korporat PKS: 15% bagi RM1 juta pertama, 17% bagi RM1 juta kedua, 24% selebihnya.
- Tubuhkan Dana Daya Tahan Rantaian Bekalan Nasional RM100 juta untuk bantu pengilang peroleh input kritikal dan bina pembekal alternatif.
- Peruntukkan levi pekerja asing: 60% untuk pembangunan kemahiran, 40% untuk automasi; dana permulaan kerajaan RM100 juta dan RM500 juta.
Presidennya Jacob Lee Chor Kok berkata, langkah itu dapat menyediakan lebih banyak ruang kewangan kepada industri untuk menaikkan gaji pekerja dan mempergiat pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi serta pengkomersialan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Menurut beliau, FMM mempunyai empat tema strategik yang perlu diberi fokus dalam dokumen kewangan itu, meliputi pembinaan industri berdaya saing, pengukuhan pembangunan industri domestik, pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta mempercepat peralihan tenaga dan penerapan ekonomi kitaran.
“Cadangan utama kami adalah untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar tiga peratus, dengan perlindungan bagi barangan keperluan asas, pematuhan yang dipermudah untuk PKS serta mekanisme bayaran balik yang boleh dipercayai.
“Kami juga mencadangkan penambahbaikan kadar cukai korporat bagi PKS, termasuk meningkatkan ambang cukai kepada 15 peratus bagi RM1 juta pertama, 17 peratus bagi RM1 juta kedua dan 24 peratus bagi jumlah melebihi RM2 juta. Ini akan memberikan kadar cukai yang lebih rendah kepada PKS,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM Separuh Pertama 2026 dan Cadangan Belanjawan 2027, di sini, hari ini.
Bagi memperkukuh rantaian bekalan domestik, beliau mencadangkan penubuhan Dana Daya Tahan Rantaian Bekalan Nasional bernilai RM100 juta bagi membantu pengilang mendapatkan input kritikal, membangunkan pembekal alternatif dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber bekalan luar negara.
“Kami juga berharap kerajaan dapat menambah baik dan mempermudah insentif peningkatan eksport, termasuk sokongan kepada pengeksport tidak langsung, penembusan pasaran baharu serta syarikat yang mencatatkan pertumbuhan eksport yang ketara,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau mencadangkan 60 peratus daripada hasil levi pekerja asing disalurkan kepada pembangunan kemahiran, manakala 40 peratus lagi untuk automasi, dengan masing-masing disokong dana permulaan kerajaan sebanyak RM100 juta dan RM500 juta.
Langkah itu, dapat menukar kutipan levi kepada pelaburan berterusan dalam pembangunan bakat tempatan dan peningkatan produktiviti, selain mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing berkemahiran rendah secara berperingkat.
Dalam aspek peralihan tenaga pula, beliau mencadangkan bantuan kos tenaga yang bersasar dan bersifat sementara, selain mekanisme bagi menangani kenaikan kos elektrik industri.
“Bagi menggalakkan pelaburan hijau, FMM mencadangkan kerajaan meningkatkan insentif cukai hijau, menyediakan pembiayaan pada kadar tiga peratus atau lebih rendah, memberi jaminan sehingga 80 peratus daripada jumlah pembiayaan serta menyediakan geran kepada PKS yang dapat menampung sehingga 30 peratus daripada kos pelaburan yang layak,” jelasnya.
Menurut beliau, keseluruhan cadangan itu menyokong hala tuju Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan agenda peralihan tenaga negara, selain bertujuan mewujudkan industri yang lebih berdaya saing, produktif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi ekonomi masa hadapan.