Inflasi terkawal, ekonomi kukuh dorong pengekalan OPR

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid

KUALA LUMPUR, 3 September – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus mencerminkan pendekatan berhati-hati dalam memastikan dasar monetari terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal kukuh, menyokong pendekatan berhati-hati dasar monetari walaupun ketidaktentuan global.
  • Inflasi terkawal sekitar 1.8 peratus, disokong subsidi bersasar dan kestabilan ringgit.
  • Faktor luaran seperti ketegangan perdagangan, konflik geopolitik, pertumbuhan China dan hala tuju kadar Fed turut mempengaruhi dasar.
  • BNM dijangka mengekalkan kadar sehingga pertengahan 2027 selagi tiada perubahan besar; dasar monetari perlu selari dengan dasar fiskal.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pendekatan itu bersesuaian dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kekal kukuh, di samping mengambil kira ketidaktentuan persekitaran global.

Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama 2026 serta inflasi yang kekal terkawal membolehkan BNM mengekalkan kadar semasa.

“Inflasi negara terkawal pada 1.8 peratus, dengan subsidi bersasar dan ringgit yang stabil sekitar RM4.05 hingga RM4.06 berbanding dolar Amerika Syarikat. Jadi keadaan inflasi tidak begitu mendesak dan Bank Negara mungkin tidak perlu menaikkan kadar faedah ataupun mengubah dasar monetarinya,” katanya.

Tambah beliau, faktor luaran termasuk ketegangan perdagangan, konflik geopolitik, pertumbuhan ekonomi China dan hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat turut diambil kira.

Beliau menjangkakan OPR pada 2.75 peratus berpotensi dikekalkan sekurang-kurangnya sehingga pertengahan 2027, selagi tiada perubahan besar terhadap keadaan ekonomi.

Tambahnya, dasar monetari BNM juga perlu bergerak seiring dengan dasar fiskal kerajaan bagi memastikan ekonomi negara kekal stabil dan pertumbuhan berterusan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.