
KUALA LUMPUR, 3 September – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus mencerminkan kestabilan dasar monetari negara.
- Prestasi ekonomi negara menunjukkan pertumbuhan kukuh sekitar enam peratus pada suku kedua.
- Inflasi rendah sekitar 1.8 peratus pada Julai menyumbang kepada kestabilan dan keterjaminan monetari.
- Pendekatan fiskal kerajaan terus memberi perhatian kepada kos sara hidup dan akan ditekankan dalam Belanjawan 2027.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keputusan itu juga perlu dilihat dalam konteks keseluruhan keadaan ekonomi negara yang kini menunjukkan prestasi pertumbuhan yang kukuh.
“Ketika ini, kita perlu melihat keseluruhan keadaan ekonomi yang menunjukkan pertumbuhan agak baik pada kadar enam peratus pada suku kedua tahun ini.
“Dalam masa sama, kita juga ambil maklum mengenai kadar inflasi bagi Julai yang mencatatkan sekitar 1.8 peratus dan jika dinilai daripada keseluruhannya, ia memberi kestabilan dan keterjaminan dari sudut monetari,”katanya.
Beliau turut menjelaskan kestabilan dasar monetari itu turut disokong pendekatan fiskal kerajaan yang terus memberi perhatian kepada kos sara hidup.
“Perkara itu akan terus diberi perhatian menerusi Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan Oktober ini,”katanya selepas program bual bicara sempena Pameran dan Persidangan Gas dan Minyak (OGA) 2026, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, KLCC.