
KUALA LUMPUR, 3 September – Peneraju industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) tempatan perlu melihat ketidaktentuan geopolitik sebagai peluang untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri tenaga global.
- Perkukuh imej Malaysia sebagai destinasi stabil pelaburan tenaga untuk menarik pelabur dan melindungi industri daripada risiko luar.
- Syarikat tempatan perlu memperkukuh keupayaan dan tawarkan penyelesaian bertaraf antarabangsa, jangan berpuas hati dengan kekuatan sedia ada.
- Pengembangan ke pasaran global meningkatkan pembangunan modal insan melalui latihan, peningkatan kemahiran dan pendedahan kepada piawaian industri antarabangsa.
- OGA 2026 menyediakan platform untuk peluang projek, akses pasaran dan jaringan perniagaan merentas sempadan bagi syarikat tempatan.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, konflik yang berlaku di Asia Barat membuktikan perkembangan di sesebuah rantau mampu memberi kesan terhadap ekonomi dan industri di seluruh dunia.
Sehubungan itu, Malaysia perlu terus diketengahkan sebagai destinasi yang stabil, manakala syarikat tempatan perlu memperkukuh keupayaan untuk menawarkan penyelesaian serta perkhidmatan bertaraf antarabangsa.
“Para peneraju OGSE negara perlu melihat peluang yang ada dan tidak terlalu selesa dengan kekuatan sedia ada. Malaysia sememangnya mempunyai hasil minyak dan gas sendiri.
“Namun, kita perlu terus meneroka serta mencari peluang yang lebih luas bagi memastikan industri ini terus berkembang,” katanya selepas menghadiri program bual bicara bersempena Pameran dan Persidangan Gas dan Minyak (OGA) 2026, di sini.
Menurut beliau, pengembangan syarikat tempatan ke pasaran global turut memberi manfaat kepada pembangunan modal insan menerusi peluang meningkatkan kemahiran serta mendapat pendedahan kepada standard industri antarabangsa.
Sementara itu, OGA 2026 yang berlangsung dari 2 hingga 4 September di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur memberi tumpuan kepada peluang projek, akses pasaran serta jaringan perniagaan merentas sempadan.
Penganjuran edisi ke-22 itu diadakan serentak dengan Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSEC 2026) dan Energy Industries Council (EIC) Connect OGA, sekali gus menghimpunkan peneraju industri tempatan dan antarabangsa dalam bidang teknologi, pelaburan serta perkhidmatan tenaga.