PM kongsi perkembangan persiapan F1 Grand Prix Bahrain 2026

Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Oktober -Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkongsi perkembangan persiapan penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa.

RINGKASAN BERITA AI
  • SIC dipilih menjadi tuan rumah sementara bagi F1 GP Gulf Air Bahrain 2026.
  • Perdana Menteri menyampaikan perkembangan persiapan menerusi panggilan telefon ketika tinjauan di Litar Antarabangsa Sepang.
  • Anwar menghargai kerjasama erat Malaysia dan Bahrain serta menyambut kehadiran peminat dan pengunjung antarabangsa.

Perkembangan itu disampaikan Datuk Seri Anwar menerusi panggilan telefon di sela-sela tinjauan beliau di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) petang tadi.

“Saya turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama erat Malaysia dan Bahrain dalam menjayakan penganjuran ini, dengan segala persiapan kini giat dilaksanakan bagi menyambut kehadiran peminat dan pengunjung dari seluruh dunia.

“Saya menantikan pertemuan dengan Putera Mahkota di Malaysia dalam beberapa hari lagi, insya-Allah, seraya terus memperkukuh persahabatan antara kedua-dua negara,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Perdana Menteri menyertai Pit Lane Walk bersempena dengan perlumbaan F1 GP Gulf Air Bahrain 2026 yang akan berlangsung di SIC bermula esok hingga Ahad.

Turut serta ialah Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif serta Ketua Eksekutif Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) Sheikh Salman Isa Al Khalifa.

SIC dipilih menjadi tuan rumah F1 GP Gulf Air Bahrain 2026, sekali gus menjadikan litar ikonik itu sebagai lokasi sementara bagi perlumbaan berprestij Bahrain itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.