Projek Residensi Siswa UM manfaat lebih 40,000 penuntut

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Lebih 40,000 penuntut Universiti Malaya (UM) bakal mendapat manfaat daripada projek Residensi Siswa yang akan dibangunkan secara berperingkat bagi menangani keperluan penempatan pelajar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek Residensi Siswa dibangunkan secara berperingkat untuk mengatasi keperluan penempatan pelajar yang paling mendesak.
  • Perasmian dijadualkan oleh Perdana Menteri pada 15 Oktober sebagai sebahagian pendekatan baharu kerajaan mempercepat penyediaan penginapan.
  • Keutamaan tempat penginapan diberikan kepada pelajar B40 dan mereka yang datang dari kawasan luar bandar atau jauh.
  • Pelancaran ILMUcode oleh YTL AI Labs memberi kredit RM100 sebulan selama tiga bulan kepada 800 pelajar tahun pertama.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, projek berkenaan dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Oktober ini, sebagai sebahagian pendekatan baharu kerajaan dalam mempercepat penyediaan kemudahan penginapan pelajar.

“Pembangunan projek akan dilaksanakan secara berperingkat dengan keperluan penempatan yang paling mendesak diberi keutamaan.

“Seperti di UM, setakat ini saya difahamkan, penginapan ini akan memenuhi keperluan masa depan lebih 40,000 penuntut kesemuanya. Jadi, projek ini akan dibina secara berperingkat tetapi keperluan asas yang segera itu perlu dilakukan juga,” katanya selepas melancarkan platform ILMUcode oleh YTL AI Labs di UM, hari ini.

Tambahnya, keutamaan penempatan akan diberikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) serta mereka yang datang dari kawasan jauh.

Pada masa sama, ruang penginapan turut disediakan kepada pelajar berkemampuan menerusi model pembayaran yang lebih fleksibel.

“Pendekatan ini bukan bertujuan menjana keuntungan semata-mata, tetapi menyelesaikan masalah penempatan pelajar yang semakin kritikal di UM dan universiti lain,” katanya.

Beliau berkata, penyediaan kemudahan itu penting bagi memastikan pelajar mendapat tempat tinggal yang bersesuaian dan dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian.

Dalam perkembangan lain, pelancaran ILMUcode oleh YTL AI Labs hari ini turut memberi kredit RM100 sebulan selama tiga bulan kepada 800 pelajar tahun pertama Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UM.

Inisiatif itu dilihat sebagai usaha memperkukuh bakat kecerdasan buatan (AI) tempatan, selain melengkapkan generasi pembangun teknologi negara dengan kemahiran pengekodan termaju.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.