SPRM reman dua tokoh korporat bergelar Datuk Seri, Datuk Wira

Foto fail

KUALA LUMPUR, 1 Oktober -Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua tokoh korporat bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira yang juga adik-beradik, disyaki bersubahat menyeleweng dan menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perintah reman lima hari hingga 5 Oktober dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan SPRM dibenarkan.
  • Dua suspek ditahan sekitar jam 9 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
  • Siasatan awal mendapati suspek disyaki bersubahat pada penghujung 2020 bersama seorang pegawai yayasan pendidikan.
  • SPRM menyita 15 kereta mewah, 12 motosikal, beberapa jam tangan, gelang serta wang tunai kira-kira RM30,000; kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Perintah reman selama lima hari hingga 5 Oktober ini dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an itu ditahan kira-kira jam 9 malam tadi, ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan berkenaan pada penghujung 2020.

Mereka dipercayai bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan berasaskan pendidikan bagi meluluskan pelaburan kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan yang dimiliki abang kepada salah seorang suspek, yang bergelar Datuk Seri dan berusia lingkungan 40-an.

Dalam perkembangan sama, SPRM turut menyita 15 kereta mewah, 12 motosikal berkuasa tinggi, lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan serta wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.