
KUALA LUMPUR, 7 Mac– Westports Malaysia Sdn Bhd menjangkakan kesan minimum terhadap operasi pengendalian kontena dan pergerakan kargo susulan konflik geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat.
- Tiada impak serius terhadap jadual ketibaan kapal setakat ini, namun Westports terus memantau perkembangan dengan rapat.
- Westports berhubung rapat dengan syarikat perkapalan laluan Asia Barat untuk menilai kesan dan sekatan di Selat Hormuz.
- Pengendalian ke Asia Barat kurang daripada 5 peratus; kebanyakan operasi ke Asia Timur dan intra-Asia.
- Beberapa syarikat perkapalan menggantung perkhidmatan ke Asia Barat, mengenakan surcaj; Westports pastikan kapasiti dikawal dan minta notis awal.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vijaya Kumar berkata setakat ini tiada impak serius dilihat terhadap jadual ketibaan kapal di pelabuhan, namun pihaknya terus memantau rapat perkembangan semasa.
Menurut beliau, syarikat itu turut berhubung dengan syarikat perkapalan yang mempunyai laluan perkhidmatan ke Asia Barat bagi menilai kesan konflik serta sekatan di Selat Hormuz terhadap operasi mereka.
”Dari segi pengendalian, pengendalian kontena ke Asia Barat hanya kurang daripada 5 peratus daripada keseluruhan operasi Westports. Kebanyakan pengendalian kami adalah ke Asia Timur dan intra-Asia.
“Kami yakin sektor lain masih berkembang dengan baik, jadi walaupun terdapat pergolakan geopolitik di Asia Barat, impak ke atas operasi kami dijangka minimum,” katanya secara ekslusif kepada RTM.
Beliau turut menjelaskan bahawa caj pengendalian di pelabuhan tidak berubah kerana tarif berkenaan dikawal selia oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan tidak bergantung kepada pergerakan kapal atau musim puncak.
Bagaimanapun, kos penghantaran kargo oleh syarikat perkapalan dijangka meningkat susulan pengenaan surcaj tambahan, khususnya bagi kapal yang menuju ke Asia Barat.
Pada masa sama, beliau memaklumkan terdapat syarikat perkapalan yang menghentikan sementara perkhidmatan ke Asia Barat dan mengalihkan kontena ke pelabuhan alternatif susulan konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran serta sekatan terhadap laluan di Selat Hormuz.
Sehubungan itu, Westports Malaysia Sdn Bhd akan memastikan pelabuhan tidak menerima kontena melebihi kapasiti pengendalian bagi mengekalkan kelancaran operasi.
”Kami sedang berhubung rapat dengan pihak syarikat perkapalan untuk memastikan sebarang niat mereka untuk menurunkan kontena yang sepatutnya dihantar ke pihak Asia Barat ini diberitahu kepada pihak kami dahulu.
”Kami akan membuat keputusan sama ada kami boleh membantu atau tidak, sebab pentingnya pengendalian operasi di pelabuhan kami ialah untuk memastikan kelancaran pada setiap masa dan tidak mengganggu operasi import eksport negara,” katanya.