SUKPAR jadi platform cungkil bakat sukan di Wilayah Persekutuan

Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Datuk Stuart Ramalingam merasmikan SUKPAR Wilayah Persekutuan 2026

KUALA LUMPUR, 26 April – Seramai 500 peserta daripada 12 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan menyertai Sukan Parlimen (SUKPAR) Wilayah Persekutuan 2026 yang berlangsung di Arena Sukan Kuala Lumpur.

RINGKASAN BERITA AI
  • SUKPAR jadi platform pembangunan atlet dan landasan pelaksanaan SUKMA serta mencungkil bakat muda.
  • Penganjuran fizikal kembali selepas pandemik; program akan diperluas dengan lebih banyak jenis sukan.
  • Pertandingan termasuk futsal, bola jaring dan pickleball serta kategori khas untuk OKU bagi penyertaan inklusif.

Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Datuk Stuart Ramalingam berkata, antara kawasan Parlimen terlibat ialah Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Titiwangsa, Bukit Bintang dan Lembah Pantai.

Beliau berkata, penganjuran SUKPAR di Labuan pula dijadual berlangsung pada 2 Mei depan.

“Program ini bukan sahaja bertujuan memberi hadiah dan pengiktirafan terhadap daya saing dalam sukan, malah menjadi platform pembangunan atlet serta landasan kepada pelaksanaan program Sukan Malaysia (SUKMA) dan usaha mencungkil bakat-bakat muda.

“Selepas pandemik, penganjuran secara fizikal kembali dilaksanakan dengan format semasa, selepas kali terakhir diadakan secara maya pada tahun 2019. Saya akan pastikan pada tahun-tahun akan datang, program ini akan terus diperluaskan dengan penglibatan lebih banyak jenis sukan,” katanya selepas merasmikan SUKPAR Wilayah Persekutuan 2026 di sini, hari ini.

Tambah beliau, edisi kali ini mempertandingkan acara futsal lelaki dan wanita, bola jaring serta pickleball bagi kategori beregu lelaki dan wanita.

Turut diperkenalkan kategori khas pickleball untuk orang kurang upaya (OKU) sebagai sebahagian usaha memperluas penyertaan sukan secara lebih inklusif.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan menghadapi temasya SUKMA pada Ogos nanti, beliau berkata latihan kontinjen Wilayah Persekutuan berjalan seperti biasa mengikut perancangan yang ditetapkan.