
KUALA LUMPUR, 26 April – Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 merupakan instrumen penting dalam meningkatkan prestasi atlet di peringkat pembangunan akar umbi.
- SUKMA menjadi penanda aras bagi menilai prestasi atlet muda berbanding rakan sebaya di peringkat nasional.
- Pendedahan kepada pertandingan berkualiti tinggi membolehkan atlet muda menguji tahap kompetitif dan ketahanan mental.
- Suasana temasya dengan penonton serta liputan media membantu membina kekuatan psikologi sebelum ke peringkat elit.
- SUKMA memberi akses kepada sokongan sains sukan termasuk pemulihan, analisis prestasi dan pemantauan beban latihan.
Menurut Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, pendedahan kepada pertandingan berkualiti tinggi membolehkan atlet muda bersaing dengan kelompok terbaik dari setiap negeri, sekali gus menguji tahap kompetitif serta ketahanan mental mereka.
“SUKMA menjadi penanda aras prestasi atlet untuk menilai kedudukan sebenar mereka berbanding rakan sebaya di peringkat nasional. Ini sangat membantu jurulatih dalam merancang program latihan yang lebih spesifik dan berkesan selepas kejohanan tamat.
“Malah, suasana temasya besar yang dilengkapi dengan kehadiran penonton serta liputan media meluas membantu membina kekuatan psikologi atlet. Ini adalah elemen yang sangat penting untuk mereka membiasakan diri sebelum melangkah ke peringkat elit,” katanya ketika dihubungi RTM
Beliau turut menekankan bahawa melalui SUKMA, atlet mendapat akses lebih meluas kepada integrasi sokongan sains sukan, termasuk aspek pemulihan, analisis prestasi dan pemantauan beban latihan yang lebih sistematik.
Jelas beliau lagi, SUKMA bukan sekadar satu lagi acara dalam kalendar kejohanan, sebaliknya berfungsi sebagai medium menyeluruh yang menggabungkan aspek fizikal, mental dan taktikal atlet.
Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan memaklumkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan supaya temasya dwitahunan itu diteruskan mengikut jadual asal pada Ogos.
Keputusan tersebut menyaksikan temasya sukan terbesar negara itu kekal dilangsungkan bermula 15 hingga 24 Ogos 2026, dengan penekanan khusus terhadap aspek perbelanjaan berhemah dan langkah penjimatan.