Pulau Pinang junjung kasih, SUKMA 2026 Selangor diteruskan

Atlet-atlet Pulau Pinang membentukkan angka 60 sebagai sasaran pingat emas pada Majlis Countdown 120 Hari Sempena SUKMA XXII, Selangor 2026 di George Town/Foto Bernama

KUALA LUMPUR,26 April – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjunjung kasih kepada Sultan Selangor atas perkenan meneruskan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor pada Ogos depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan meneruskan penganjuran SUKMA 2026 dianggap perkembangan positif, membolehkan persiapan atlet negeri berjalan seperti dirancang.
  • Pengumuman memberi keyakinan kepada kontinjen Pulau Pinang untuk meneruskan latihan dan persediaan menghadapi temasya.
  • MSN dan Exco menyokong pendekatan sederhana, menekankan pembukaan gelanggang serta perbelanjaan yang berhemah dan berjimat.
  • Langkah penjimatan diperlukan untuk elakkan peningkatan kos dan menjamin kelangsungan pembangunan sukan negeri serta negara.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, keputusan itu merupakan perkembangan positif yang membolehkan persiapan atlet negeri berjalan seperti dirancang.

Menurutnya, pengumuman berkenaan memberi keyakinan kepada semua pihak khususnya kontinjen Pulau Pinang untuk meneruskan latihan dan persediaan menghadapi temasya sukan berprestij tersebut.

“Ini merupakan satu perkembangan yang amat baik, di mana segala usaha untuk mempersiapkan para atlet, khususnya dari Pulau Pinang, bagi menghadapi temasya kali ini dapat diteruskan.

“Kami berharap semua perancangan berjalan lancar dan sekali lagi, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih, khususnya kepada Perdana Menteri dan Menteri Belia dan Sukan atas usaha serta inisiatif memastikan penganjuran SUKMA ini dapat diteruskan,”katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang, Harry Chai Heng Hua menyambut baik keputusan meneruskan temasya ini dengan pendekatan sederhana yang dianggap memadai, selagi kemudahan gelanggang sukan dibuka serta pelaksanaan perbelanjaan dibuat secara berhemah dan berjimat.

Tambahnya, langkah itu penting bagi memastikan penganjuran kejohanan dapat dilaksanakan tanpa peningkatan kos yang ketara, sekali gus menjamin kelangsungan pembangunan sukan di peringkat negeri dan negara.

“Bagi kami, pendekatan penganjuran secara sederhana sudah memadai. Apa yang penting ialah kemudahan gelanggang sukan dapat dibuka, manakala segala perbelanjaan dilaksanakan secara berhemah dan berjimat, tanpa peningkatan kos yang ketara,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari memaklumkan SUKMA Selangor kekal dilangsungkan bermula 15 hingga 24 Ogos ini.

Ia dengan langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemah, setelah menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Khamis lalu untuk membincangkan perkara itu.